Input your search keywords and press Enter.

Tidak Perlu Guna MyDigital ID Untuk Daftar Masuk MYJPJ

Tangkap layar ‘Pop Up’ pengumuman ini telah diturunkan.

M Update, 03/10/2024 – Orang ramai tidak perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ bermula 10 Oktober ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Dalam sidang media semalam, beliau berkata, pengguna aplikasi MyJPJ boleh mendaftar masuk aplikasi berkenaan seperti biasa. Media sebelum ini melaporkan, pengguna MyJPJ perlu mendaftar masuk aplikasi itu menggunakan MyDigital ID bermula 10 Oktober ini.

MyDigital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Loke berkata, arahan berhubung keperluan penggunaan MyDigital ID dalam MyJPJ dikeluarkan menerusi pengumuman tetingkap timbul (‘pop-up announcement’) dalam aplikasi itu.

Katanya, arahan yang dikeluarkan itu bukan pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan telah diturunkan serta-merta. Maklumat yang disalurkan melalui ‘pop-up’ MyJPJ telah memberikan maklumat yang mungkin mengelirukan orang ramai.

Oleh itu, orang ramai tidak perlu ada kebimbangan bahawa selepas 10 Oktober ini tidak boleh pakai MyJPJ. Itu tidak wujud. MyJPJ boleh terus diakses dengan mudah dengan cepat.

Beliau berkata, kementerian menyokong penggunaan MyDigital ID namun proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dibuat secara ‘back-end’.

Kementerian telah mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan supaya penggunaan MyDigital ID sebagai ‘log in’ kepada aplikasi MyJPJ perlu dilaksanakan dengan mudah. Ini supaya tidak memberikan apa-apa masalah kepada pihak pengguna MyJPJ dan ini mengambil sedikit masa untuk pengintegrasian secara ‘back-end’.