Input your search keywords and press Enter.

Operasi Pencarian Sabari Di Sungai Padang Terap Ditamatkan

M Update, 03/10/2024 – Operasi pencarian pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, yang dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra ditamatkan.

Isteri mangsa, Subhiah Ruslina Shahibi, 57, memaklumkan bahawa dia menerima maklumat mengenai perkara itu malam tadi. Menurutnya, dia dan ahli keluarga akan melawat lokasi kejadian, iaitu di Jambatan Kampung Empa, Derang, hari ini.

Difahamkan, operasi selama tiga hari yang bermula Isnin lepas, meliputi radius 13 kilometer Sungai Padang Terap, tidak menemukan sebarang petunjuk sehingga pencarian dihentikan pada petang semalam.

Operasi pencarian Sabari digerakkan selepas polis menahan dua suspek lelaki berumur 26 dan 38 tahun, Jumaat lepas, bagi membantu siasatan kes kehilangan warga emas itu.

Pada Isnin, polis mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Sabari hilang sejak 4 September lepas, dan Proton Waja yang dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik.

Operasi pencarian Sabari membabitkan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).