Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Kecam Serangan Pengganas Di Turki, Tiada Rakyat Malaysia Terlibat

Foto: The Telegraph

M Update, 24/10/2024 – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas ibu pejabat syarikat aeroangkasa dan pertahanan Turkiye, Turkish Aerospace Industries (TAI) yang terletak di Kahramankazan, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan pada Rabu.

Semua rakyat Malaysia di Turkiye dinasihati agar waspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara sedang memantau rapat perkembangan.

“Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam serangan berkenaan,” katanya.

“Malaysia merakamkan setinggi-tinggi ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Turkiye dan keluarga mangsa yang terkorban dan berharap supaya mereka yang cedera agar segera sembuh,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu media melaporkan dua penyerang membunuh lima orang dan mencederakan 22 yang lain dalam serangan tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya berkata, kedua-dua penyerang berkenaan yang berjaya dinuetralkan berkemungkinan besar anggota Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan.

Saksi memberitahu bahawa pekerja di dalam bangunan dibawa ke tempat perlindungan oleh pihak berkuasa dan tiada siapa yang dibenarkan keluar selama beberapa jam. Mereka berkata, letupan yang didengar mungkin berlaku di beberapa pintu keluar semasa pekerja meninggalkan tempat kerja untuk pulang.

Saksi kemudian berkata pemindahan kakitangan dari kampus TUSAS telah bermula dan bas-bas dibenarkan keluar setelah operasi selesai.

TUSAS merupakan pengeluar aeroangkasa terbesar di Turkiye, yang kini menghasilkan pesawat latihan, helikopter tempur dan helikopter awam, serta sedang membangunkan jet pejuang tempatan pertama negara, KAAN.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara melalui +(90) 312 44635 47/48 semasa waktu pejabat atau +(90) 507 8128406 selepas waktu pejabat.

Mereka juga boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul di +(90) 212 98910 01/09 semasa waktu pejabat atau +(90) 531 7160551 selepas waktu pejabat. 

Sebagai alternatif, pertanyaan boleh dihantar melalui e-mel kepada mwankara@kln.gov.my untuk Kedutaan Malaysia di Ankara atau mwistanbul@kln.gov.my untuk Konsulat Jeneral di Istanbul.

Sumber: BH, Sinar Harian