Input your search keywords and press Enter.

Tiada Diskriminasi Kemasukan Pelajar Ke IPTA

M update, 25/11/2024 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa tiada diskriminasi diamalkan dalam pendaftaran pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, gagal memperoleh pilihan pertama program pengajian kritikal dikenal pasti antara faktor pelajar cemerlang tidak melanjutkan pengajian mereka.

Menurut beliau, perkara itu sering dibahaskan melibatkan pengajian bidang perubatan, farmasi dan pergigian yang menerima permohonan yang tinggi.

Zambry berkata, kemasukan pelajar tidak bergantung kepada kuota yang mana tiada kumpulan yang diberi keutamaan sebaliknya ia berdasarkan merit.

“Saya tegaskan bahawa tidak mendapatkan pilihan pertama mereka adalah isu utama yang dibangkitkan, dan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar India tetapi juga pelajar Melayu, Cina, Kadazan dan Iban.

“Dari segi dasar kerajaan kita tidak pandang ‘bulu’, kita tidak pandang sama ada mereka ini dari kaum tertentu sebaliknya kita akan bantu memastikan pelajar terbabit dapat meneruskan pengajian,” katanya.

Secara asasnya, kementerian tiada diskriminasi dalam kemasukan ke IPTA. Perdana Menteri telah umumkan bahawa pelajar yang memperoleh A dalam semua pelajaran diberikan tempat (melanjutkan pelajaran).