M Update, 29/11/2024 – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan dakwaan akan melepaskan air Empangan Pergau, Kelantan seperti yang tular di media sosial.
TNB dalam satu kenyataan berkata, ketika ini air di empangan tersebut berada pada paras normal dan terkawal.
“Pengurusan Stesen juga telah memaklumkan status terkini empangan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan Jawatankuasa Bencana Daerah Jeli.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,“ katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, tular beberapa hantaran di media sosial yang menyatakan bahawa air Empangan Pergau bakal dilepaskan.
Dalam pada itu, TNB turut memberitahu, jika orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh hubungi TNB dengan Private Message di Facebook TNB CareLine atau mesej langsung ke X @Tenaga_Nasional.