M Update, 06/01/2025 – Pengembara warganegara Malaysia perlu memuat turun aplikasi MyBorderPass untuk mendaftarkan maklumat perjalanan sebelum menggunakan sistem kod respons pantas (QR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Selepas aplikasi berkenaan dimuat turun, pengembara perlu mengesahkan wajah bagi proses pengesahan sebelum memulakan perjalanan atau semasa ketibaan. Ini merupakan pengalaman baharu buat semua rakyat Malaysia bermula Januari tahun ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melancarkan sistem pelepasan imigresen menggunakan kod QR di KLIA khusus buat warganegara Malaysia. Kerajaan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan kod QR khusus untuk rakyat Malaysia bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas di KLIA Terminal 1 (T1) dan KLIA T2.
Penggunaan kod QR di balai ketibaan serta balai pelepasan KLIA T1 dan KLIA T2 itu merupakan langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.