M Update, 23/01/2025 – Sindiket penyeludupan rokok elektronik (vape) yang dipercayai merasuah pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, berjaya ditumpaskan pada Selasa.
Kegiatan haram itu dibongkar Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Airways hasil intipan selama tiga bulan.
Menurut sumber, seramai 14 individu berusia lingkungan 20 hingga 60-an telah ditahan membabitkan enam pegawai JKDM dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat.
Penahanan dilakukan selepas penahanan dua lori yang keluar dari pusat pemeriksaan kargo KLIA dan serentak itu, serbuan secara besar-besaran telah dilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat-syarikat tersebut.
Hasil pemeriksaan bersama Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM telah menemui 32,000 vape yang dianggarkan melibatkan cukai bernilai RM1.9 juta di dalam lori yang ditahan,” katanya pada Rabu.
Selain itu, serbuan di salah sebuah gudang telah menemui sebanyak 90,000 unit vape yang dianggarkan cukai bernilai RM5.4 juta, manakala di sebuah gudang lagi turut menemui berpuluh ribu unit vape yang melibatkan jutaan ringgit yang tidak dibayar cukai pada JKDM.
ambah sumber, setakat ini, hasil serbuan mendapati negara kehilangan hasil kutipan cukai kira-kira RM8 juta.
“Kandungan vape itu juga dikhuatiri membahayakan kesihatan pengguna,” katanya.
Kata sumber lagi, dipercayai kesemua vape yang diseludup langsung tidak diikrarkan dan tiada sebarang dokumen dicatatkan.
Ini menyerupai modus operandi kontena terbang dan pegawai-pegawai penguat kuasa yang bertugas didapati menerima ribuan ringgit bagi setiap kontena tanpa melalui mesin imbasan atau sebarang pemeriksaan,” katanya.
Dalam pada itu, enam pegawai kastam dan enam individu termasuk empat pengarah syarikat direman selama empat hari manakala seorang lagi direman selama lima hari.
Operasi itu turut melibatkan Pasukan Taktikal SPRM (ACTS). – Sinar Harian