Input your search keywords and press Enter.

Kemalangan Trak FRU: Penghormatan Untuk Semua Mangsa Selesai

Foto: Bernama

M Update, 14/05/2025 – Sembilan jenazah dan jasad anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan semalam selesai diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di FRU Unit 5, Sungai Senam di Ipoh pada awal pagi tadi.

Solat jenazah dilakukan ke atas tujuh jenazah Muslim buat kali kedua selepas sesi solat jenazah yang dilaksanakan di Surau Ar-Rahman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Solat jenazah untuk kali kedua di Surau Al Mustaqim, dilakukan terhadap tujuh jenazah Muslim itu iaitu Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.

Foto: Bernama

Selain itu, Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; dan Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33.

Tujuh jenazah Muslim itu selesai disolatkan pada 3.30 pagi, oleh lebih 500 jemaah terdiri daripada anggota polis dan ahli keluarga.

Suasana hiba apabila ratusan individu terdiri ahli keluarga dan waris mangsa hadir memberikan penghormatan terakhir terhadap jenazah.

Foto: Bernama

Terdahulu, jenazah dan jasad kesemua anggota FRU itu dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada 12.33 tengah malam selepas selesai bedah siasat sebelum tujuh jenazah beragama Islam disolatkan di surau IPD Hilir Perak.

Jenazah kemudiannya dibawa menaiki van jenazah sama ke lokasi pengebumian masing-masing pada 4.12 pagi.

Terdahulu, sembilan jenazah itu termasuk jenazah bukan Islam iaitu mendiang Sarjan S Perumal, 44; dan Koperal Nurit Pandak, 34, tiba di perkarangan Surau Al-Mustaqim, pada 3.15 pagi sesudah selesai proses pengurusan di Surau Ar-Rahman, kira-kira 1 pagi.

Foto: Bernama

Sementara itu, jenazah Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif selamat dikebumikan dengan istiadat kepolisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang di sini, pada 4.50 pagi ini.

Jenazah itu dikebumikan mengikut istiadat pengebumian kepahlawanan dengan Noor Hisam menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu Allahyarham, Suriati Omar.