Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Tubuh Pasukan Khas Untuk Semak Semula Dasar Hukuman Mati

M Update, 23/07/2025 – Kerajaan akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas di bawah Jawatankuasa Semakan Undang-Undang Jenayah (CLRC) bagi menjalankan kajian menyeluruh berhubung dasar dan hala tuju hukuman mati di negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, keputusan untuk menubuhkan pasukan berkenaan telah dibuat oleh kerajaan pada 9 Julai lalu.

Kajian ini akan dijalankan secara komprehensif dan berasaskan bukti, dengan penglibatan semua pihak berkepentingan termasuk keluarga banduan akhir serta keluarga mangsa.

Kerajaan tetap komited untuk meneliti isu ini secara mendalam sebelum membuat sebarang keputusan akhir,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) berhubung hala tuju dan langkah kerajaan ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman mati, serta sama ada moratorium pelaksanaan hukuman tersebut akan diteruskan selaras dengan sokongan Malaysia terhadap resolusi moratorium oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Azalina menjelaskan bahawa penubuhan pasukan petugas itu dibuat susulan cadangan daripada pihak berkepentingan yang dikemukakan dalam beberapa sesi libat urus pada April 2025, yang mencadangkan agar kajian lebih terperinci dijalankan memandangkan masih terdapat banduan yang menunggu pelaksanaan hukuman mati.

Beliau berkata, sesi libat urus yang melibatkan agensi kerajaan, badan guaman, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO) bertujuan mendapatkan pandangan awal berhubung hala tuju dasar itu termasuk mempertimbangkan aspek pelaksanaan, perundangan dan hak asasi manusia berkaitan pemansuhan sepenuhnya hukuman mati.

Menurutnya, langkah reformasi berhubung hukuman mati dimulakan sejak 2018 dengan memansuhkan hukuman mati dan menangguhkan pelaksanaannya menerusi penguatkuasaan moratorium malah dalam tempoh itu rayuan pengampunan banduan akhir masih dibenarkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Susulan pewartaan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023 (Akta 847), seramai 906 banduan dikenal pasti layak memohon semakan semula hukuman. Sehingga Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan telah meringankan hukuman terhadap 863 daripada mereka.

Namun begitu, 49 banduan masih kekal dijatuhkan hukuman mati, dan jumlah ini dijangka terus meningkat sekiranya tiada penyelesaian dasar yang menyeluruh dirangka.

Tambahnya, moratorium pelaksanaan hukuman mati masih berkuat kuasa pada masa ini selaras pendirian Malaysia yang menyokong resolusi moratorium oleh UNGA.