Input your search keywords and press Enter.

Wanita Ditemukan Meninggal Dunia Dalam Kereta Di Stesen Minyak

Foto: Info Bencana Pahang dan Luar Pahang

M Update, 23/02/2026 – Seorang wanita ditemukan meninggal dunia dalam keretanya yang diparkir di sebuah stesen minyak di Jalan Paya Terubong malam tadi.

Ruang dalam kenderaan milik mangsa dipenuhi pelbagai barangan sehingga menutupi tempat duduk.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Khairul Annuar Mohd Rahim, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.48 malam untuk membuka pintu Perodua Myvi mangsa yang terkunci dari dalam.

Pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk membuka pintu kereta tersebut kerana bahagian dalam kenderaan dipenuhi dengan barangan. Wanita berkenaan akhirnya ditemukan selepas cermin tingkap penumpang belakang dipecahkan. Mangsa berada di tempat duduk pemandu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Foto: Info Bencana Pahang dan Luar Pahang

Dalam kereta tersebut, polis menemui pelbagai barangan termasuk pakaian, bantal, kotak, beg, makanan dan beberapa jenis dadah. Bagaimanapun, pemeriksaan forensik di lokasi mendapati tiada unsur jenayah. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Ibu mangsa memaklumkan beliau menerima panggilan polis pada jam 8.30 malam yang memaklumkan anak perempuannya ditemui meninggal dunia dalam kereta.

Wanita berusia 38 tahun itu dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan telah mendapatkan rawatan hampir 10 tahun. Keadaannya menyebabkan dia gemar menyimpan pelbagai barangan dalam kereta seolah-olah tinggal di situ, namun sebenarnya dia tetap pulang ke rumah setiap hari.

Sumber artikel: BH