M Update, 26/02/2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada tujuh pemuda yang bertindak segera membantu menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil dalam kemalangan di Kundang, semalam.
Beliau menyifatkan keberanian mereka yang sanggup menggadaikan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa orang lain sebagai satu tindakan terpuji dan wajar dicontohi masyarakat.
“Saya tersentuh tatkala membaca kisah keberanian tujuh pemuda yang bertindak pantas terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil yang terbabit dalam nahas di Kundang.
“Tindakan nekad mereka yang mendahulukan nyawa orang lain walaupun keselamatan diri sendiri menjadi taruhan sudah menyelamatkan tiga nyawa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Anwar berkata, keberanian dan keikhlasan kalian mencerminkan nilai kemanusiaan dan ihsan yang amat bermakna.
“Saya juga mendoakan semoga ibu serta kedua-dua anak ini diberikan kesembuhan dan terus berada dalam perlindungan Allah SWT,” katanya.
Terdahulu, seorang ibu dan dua anak kecil melalui detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam tasik di Kundang. Namun, ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas tujuh pemuda yang berada di lokasi kejadian.