Tuanku Muhriz Perkenan Ismail Lasim Kekal Sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan

M Update, 20/11/2026 – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan supaya Datuk Ismail Lasim terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar negeri itu.

Perkara berkenaan dimaklumkan Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, ketika sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar selepas selesai menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, pagi tadi.

Pertemuan yang bermula pada jam 10.30 pagi itu berakhir kira-kira jam 11.35 pagi.

Menurut Ismail, beliau akan terus memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa dirinya tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan berhubung surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 16 November lalu.

“Saya ingin menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 16 November lalu, saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada Tuanku Muhriz,” katanya.

Turut hadir ke Istana Hinggap ialah Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi.

Terdahulu, Ismail dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada Isnin lalu, selepas mengangkat sumpah jawatan berkenaan pada 2 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada keesokan harinya memaklumkan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pada hari sama, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut politik yang melanda negeri itu. Sesi berkenaan berlangsung kira-kira dari jam 5 petang hingga 6.30 petang.