Pengorbanan Hingga Hujung Nyawa, Tulang Arwah Aidil Bakal Bantu Puluhan Pesakit

M Update, 20/11/2026 – Seorang doktor tidak dapat menahan sebak ketika menguruskan proses pendermaan tulang Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, selepas menyedari sumbangan pemuda itu mampu memberi peluang kehidupan lebih baik kepada puluhan pesakit lain.
Dr Syahr Musafir berkata, emosinya tersentuh ketika berada di dewan bedah pada Khamis apabila mengenangkan besarnya tanggungjawab untuk memastikan tulang yang didermakan Allahyarham diambil, dipelihara dan diuruskan dengan sempurna sebelum dimanfaatkan bagi tujuan rawatan pesakit lain.
Menurutnya, pendermaan berkenaan bukan sekadar melibatkan prosedur perubatan, sebaliknya satu amanah besar yang perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab kepada Allahyarham, keluarga penderma dan semua pihak yang terlibat.
Menerusi perkongsian di Facebook pada Khamis, beliau berkata setiap proses perlu dilakukan sebaik mungkin, bermula daripada pengambilan tulang sehinggalah memastikan ia disimpan dan dijaga dengan sempurna untuk kegunaan perubatan pada masa akan datang.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial dengan lebih 2,800 tanda suka dan 372 perkongsian.
Dr Syahr berkata, beliau beberapa kali mengingatkan dirinya supaya melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaiknya memandangkan sumbangan Allahyarham berpotensi membantu puluhan pesakit memperoleh kehidupan yang lebih baik.
Malah, meskipun berdepan keletihan dan belum menjamah makanan sejak pagi, beliau mengakui tetap diberikan kekuatan untuk menyempurnakan amanah berkenaan.
Menurutnya, Allahyarham sebelum ini turut mendermakan organ dan tisu termasuk buah pinggang, paru-paru, hati serta kornea mata yang telah memberi manfaat kepada ramai penerima.
Beliau menyifatkan pengorbanan Allahyarham sebagai sesuatu yang amat menginsafkan kerana kebaikan yang dilakukan pemuda itu tetap memberi manfaat kepada orang lain walaupun selepas pemergiannya.
Dalam masa sama, Dr Syahr turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga Allahyarham, khususnya ibu bapa serta adik-beradiknya, atas keizinan dan keredaan mereka untuk meneruskan pendermaan berkenaan.
Beliau turut mendoakan agar segala pengorbanan Allahyarham mendapat ganjaran syurga daripada Allah SWT, selain berharap semua pihak yang terlibat dalam urusan pendermaan itu dikurniakan rahmat dan keberkatan.
