Kemasukan Tahun Satu Usia Enam Tahun Wajib Mulai 2029

Foto Hiasan

M Update, 24/11/2026 – Kementerian Pendidikan (KPM) merancang mewajibkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu bermula sesi persekolahan 2029, selepas memberikan pilihan kepada ibu bapa pada 2027 dan 2028.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, persediaan awal sudah dimulakan tahun ini bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan berjalan lancar, termasuk dari aspek kurikulum, latihan guru, prasarana dan penyediaan bilik darjah.

Menurutnya, KPM yakin mempunyai keupayaan melaksanakan dasar itu menerusi beberapa pendekatan, antaranya penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mempercepatkan pembinaan bilik darjah, selain sistem persekolahan dua sesi dan penyuraian murid ke sekolah yang mempunyai kapasiti lebih rendah.

Beliau berkata, kurikulum serta latihan guru turut disesuaikan dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak berusia enam tahun bagi memastikan mereka mendapat pendidikan bersesuaian dengan tahap perkembangan masing-masing.

Bagaimanapun, pelaksanaan dasar wajib itu turut memerlukan pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azam berkata, sebanyak 73,498 permohonan membabitkan kanak-kanak kohort enam tahun untuk memasuki Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027 telah diterima setakat 30 September lalu.

Jumlah itu turut merangkumi 418,151 permohonan daripada kanak-kanak kohort tujuh tahun, menjadikan keseluruhan 491,649 permohonan pendaftaran Tahun Satu.

Beliau berkata, KPM turut menyediakan unjuran awal bagi keperluan tambahan bilik darjah, buku teks dan guru sekiranya berlaku peningkatan permohonan pada 2028.