ECRL Merentasi Lima Pentadbiran PM, Sultan Pahang Zahir Penghargaan

FOTO Muhamad Delima Atan

M Update, 25/11/2026 – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada bekas pemimpin negara yang memainkan peranan penting dalam memastikan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan sehingga hampir siap.

Baginda bertitah, projek mega berkenaan melalui lima fasa pentadbiran Perdana Menteri serta tiga pemerintahan Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh pelaksanaannya.

Menurut baginda, ECRL mula dicadangkan pada 2016 ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum diteruskan oleh penggantinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baginda bertitah demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Stesen KotaSAS di sini, pada Rabu.

Al-Sultan Abdullah turut mengimbas kembali penglibatan baginda dalam mengikuti perkembangan projek itu sebelum menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2019.

Baginda berkata, majlis pecah tanah ECRL pernah diadakan di KotaSAS pada 2017 sebelum pertukaran kerajaan pada tahun berikutnya mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan projek itu dikaji semula.

Bagaimanapun, selepas menerima taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, baginda menyarankan supaya projek berkenaan diteruskan.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua bekas pemimpin serta pihak yang terlibat dalam memastikan pelaksanaan ECRL berjalan sehingga mencapai kemajuan 99 peratus, meskipun berdepan kelewatan berbanding jadual asal.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menyifatkan pembukaan stesen berkenaan sebagai detik bermakna selepas rakyat menantikan pelaksanaan projek itu selama beberapa tahun.

Baginda bertitah, majlis berkenaan memberi peluang kepada tetamu melihat sendiri kemudahan stesen serta merasai pengalaman menaiki tren ECRL.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) itu menghubungkan Kota Bharu dengan Lembah Klang, merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Fasa pertama sepanjang 520km menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak, manakala fasa kedua menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang.