PRU16 SEBELUM FEBRUARI 2028, ANWAR MINTA SEMUA PIHAK BERSABAR

M Update, 26/11/2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak tidak terburu-buru menuntut penetapan tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sambil menegaskan pilihan raya berkenaan perlu diadakan sebelum Februari 2028.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, PRU16 berkemungkinan berlangsung sebelum atau selepas sambutan Hari Kebangsaan tahun depan, namun pelaksanaannya tidak akan melepasi Februari 2028.

“PRU16 mesti diadakan sebelum Februari 2028, begitu lebih kurang. Jadi sabarlah… ia juga sama ada sebelum Hari Kebangsaan ataupun sesudah.

“Ia tidak ada lebih daripada itu,” katanya ketika menjawab pertanyaan mengenai PRU16 menerusi program Dialog Negara yang disiarkan di TV1 dan aplikasi RTMKlik malam tadi.

Kebelakangan ini, terdapat desakan daripada beberapa pihak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal bagi membolehkan PRU16 diadakan dalam usaha mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Mengulas kemungkinan beliau terus memegang jawatan Perdana Menteri sekiranya memperoleh mandat sekali lagi, Anwar berkata, perkara itu bergantung kepada keputusan pilihan raya serta sokongan yang diberikan rakyat kepada parti-parti politik.

Menurutnya, sekiranya diberi kepercayaan untuk meneruskan pentadbiran, beliau mahu menggunakan pengalaman dan kekuatan sedia ada bagi meningkatkan kedudukan serta martabat Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Komposisi kita tak boleh tentu sebab kita tengok keadaan dan sokongan serta mandat yang diberikan kepada parti-parti. Tetapi kalau saya, tentulah saya nak teruskan dan tentunya dengan pengalaman yang ada, dengan kekuatan yang ada dapat mengangkat martabat Malaysia.

“Saya pencinta negara. Saya yakin dengan keupayaan negara. Saya meletak harapan tinggi kepada anak-anak muda dan saya mahu Malaysia ini sekarang diangkat menjulang menjadi satu negara yang hebat dan gagah di rantau dan dunia,” katanya.