M-Update,21/2/2019. TURIN: Juventus mengesahkan bakal hilang khidmat pemain tengahnya, Sami Khedira selama sebulan bagi membolehkan tonggak itu menjalani rawatan berkaitan degup jantung tidak teratur, umum kelab itu, hari ini.
Khedira, 31, yang membantu Jerman menjulang Piala Dunia 2014, tidak disenaraikan dalam skuad menentang Atletico Madrid dalam aksi pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara lewat pagi ini selepas didapati mengalami masalah berkaitan jantung.
Degupan jantung Khedira didapati luar biasa selepas menjalani rawatan ‘terapi electropyssiologikal’, umum Juventus menerusi kenyataan yang boleh diakses menerusi laman web kelab. “Selepas tempoh rawatan berkenaan, dia dijangka kembali meneruskan aktivitinya dalam jangka masa sebulan.”
Disebabkan masalah itu juga, setakat ini, Khedira hanya 15 kali dapat beraksi membantu Juventus di peringkat Serie A. – Reuters