Input your search keywords and press Enter.

Rekod baru 7.69 saat

WATFORD, United Kingdom: Penyerang Southampton Shane Long menjaringkan gol terpantas Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi pada 7.69 saat untuk seri 1-1 menentang Watford, yang menyamakan kedudukan menerusi Andre Gray. Gol Long itu hadir sejurus selepas sepak mula apabila dia menahan bola cuba dikeluarkan pertahanan Watford Craig Cathcart, dan menewaskan penjaga gol tuan rumah Ben Foster.

Pemain 32 tahun Republik Ireland itu mengatasi rekod gol terpantas sebelumnya yang dipegang pertahanan Tottenham Ledley King pada 9.9 saat ketika menentang Bradford pada Disember 2000. “Ia rekod bukan?” kata Long selepas perlawanan. “Bermula dari sepak mula kami mahu memberikan tekanan ke atas mereka. 99 daripada 100 kali anda menghalangnya dan ia tidak berjaya tetapi kali ini ia berjaya.”

King ketika itu sedang menonton perlawanan antara Tottenham dan Brighton ketika mengetahui rekod 19 tahun miliknya berjaya diatasi. Selepas gol King, jaringan terpantas Liga Perdana seterusnya dicatat oleh Alan Shearer pada 10.52 saat untuk Newcastle ketika menentang Manchester City pada tahun 2003. Christian Eriksen menjaringkan gol pada saat ke10.54 untuk Tottenham ketika menentang Manchester United musim lalu.

Gol Long bermula daripada sepak mula Watford apabila Roberto Pereyra menghantar bola ke Carthart, dan ketika bek tengah itu cuba menghantar semula bola ke atas Long meluru untuk menghalang dan berjaya mendapatkan bola.The Saints mampu meledak beberapa gol lagi namun percubaan Nathan Redmond dan Ryan Bertrand terkena tiang gol. Redmond turut menyaksikan percubaannya diselamatkan Foster manakala tandukan Long dua kali tersasar. – AFP


Leave a Reply