Input your search keywords and press Enter.

Wanita Emas

M Update, 18/2/2019 – Wanita perlu memanfaatkan barang kemas yang dimiliki dengan memajakkannya bagi memperoleh wang tunai bagi menjana aktiviti perniagaan yang lebih menguntungkan.

Penolong Pengurus Besar Ar- Rahnu Express Sdn Bhd Ampang Point, Zairenna Ngon @ Onn, berkata kaedah ini lebih baik kerana mereka tidak perlu meminjam sebaliknya menggadai seketika untuk mendapatkan modal awal. Beliau berkata, mereka boleh mengambil barangan itu semula pada tempoh ditetapkan selepas memperoleh pulangan daripada perniagaan yang dijalankan, pada kadar upah simpan paling rendah.

“Elak tanggapan mengatakan menggadai emas sebagai tindakan terdesak dan hanya menghabiskan harta dimiliki. Emas berfungsi menambah pendapatan dan mengukuhkan ekonomi. Bagi yang sudah memulakan perniagaan sekalipun, keputusan menggadai barang kemas membantu memperoleh wang tunai untuk dijadikan modal pusingan perniagaan.

“Apabila mendapat untung, pemilik boleh menebus kembali selepas modal dilaburkan memperoleh keuntungan,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini. Zairenna berkata, perkhidmatan pajak gadai ditawarkan Ar-Rahnu Express membolehkan individu mendapatkan wang tunai segera dengan proses mudah dan cepat menerusi urusan pajak gadai. Katanya, pihaknya menerima pelbagai koleksi peribadi termasuk batu permata, berlian, jongkong emas dan dinar emas.

Syarikat pertama di negara ini menerima pajakan berlian dan pinjaman tanpa faedah dengan kadar upah simpan rendah iaitu satu peratus sebulan. Individu yang datang untuk pajak gadai akan diberikan pinjaman sehingga 75 peratus daripada nilai aset berkenaan.

Tempoh gadaian enam bulan diberikan namun sekiranya gagal menebus pemilik barangan kemas boleh melanjutkan tempoh sehingga tiga bulan,” katanya. Zairenna berkata, selain pajakan wanita perlu didedahkan tentang kelebihan pelaburan emas. Katanya, pelaburan emas amat mudah dilakukan sekiranya mereka dibekalkan dengan maklumat yang tepat.

Harga emas sentiasa meningkat mengikut pasaran global dan pembeliannya sangat menguntungkan. Selain dijadikan sebagai aset atau koleksi peribadi, barang perhiasan seperti emas dan permata sebagai instrumen pelaburan memandangkan nilainya meningkat,” katanya. Zairenna berkata, nilai emas konsisten menjadikannya sebagai komoditi terbaik pelaburan jangka panjang. Sebagai contoh katanya, emas Emas 999 atau berbentuk jongkong dan syiling emas mahupun perhiasan seperti gelang mahupun rantai, mempunyai nilai tinggi berbanding koleksi perhiasan diperbuat daripada emas 916.

Sumber : BH Online

Leave a Reply