Input your search keywords and press Enter.

‘Inspektor Narita’ buat hal lagi

M-Update,16/4/2019, SEORANG guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berputih mata apabila menyerahkan nombor kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pengenalan peribadi (PIN) selepas digertak kononnya terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi pada 22 Mac lalu, mangsa berusia 44 tahun menerima panggilan daripada suspek wanita kononnya pegawai sebuah bank dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi RM50,000.Bagaimanapun, mangsa menafikan membuat pinjaman peribadi sebelum panggilan disambungkan kepada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Narita’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek yang menyamar sebagai ‘Inspektor Narita’ mendakwa semakan mendapati nama dan akaun guru itu bersabit dalam aktiviti penggubahan wang haram.

“‘Inspektor Narita’ kemudian meminta butiran akaun milik pengadu berserta maklumat nombor PIN dan nombor ATM untuk pengesahan akaun.“Mangsa dimaklumkan perlu membuat bayaran RM196,000 untuk tujuan ikat jamin kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, pada Ahad lalu, mangsa membuat semakan akaun Bank Rakyat miliknya dan mendapati wang RM90,810 sudah lesap daripada akaunnya.“Dia yang berasa ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

“Susulan laporan dibuat mangsa, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.Sebelum ini, media melaporkan mengenai seorang guru wanita berusia 51 tahun di Kuantan kerugian RM113,000 selepas diperdaya ‘Inspektor Narita’ yang mendakwa kononnya mangsa terbabit kes penggubahan wang haram.

Malah, guru wanita itu sanggup membuat pinjaman bank RM80,000 atas nasihat ‘Inspektor Narita’ yang kononnya mahu membantu menyelesaikan ‘kes’ dihadapi guru berkenaan.

–HMetro

Leave a Reply