Input your search keywords and press Enter.

Pengertian Nuzul Al-Quran

Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.

Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh:

وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً
Maksudnya: “Dia yang telah menurunkan hujan.” (Surah al-Baqarah:22)

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ
Maksudnya: “Dialah yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (Surah Ali-Imran:3)

Tujuan Al-Quran Diturunkan

Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandugannya sebagaimana firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah As-Sad: 29)

Syeikh Sya’rawi Rahimuhullah ketika mentafsirkan ayat di atas menghuraikan makna kalimah ‘Mubarak’ iaitu benda yang sedikit tetapi manfaat dan kebaikannya jauh melebihi apa yang digambarkan. Seumpama orang yang bergaji sedikit tetapi kehidupan keluarganya mencukupi. Segala perbelanjaannya dihalakan kepada perkara yang bermanfaat dan berfaedah. Seakan hidup sebagai orang yang kaya.

         Persoalannya bagaimanakah Allah SWT memberkati rezeki yang sedikit? Pertamanya Allah memberikan rasa qana’ah (mencukupi) kepada tuannya. Kedua, rezeki yang sedikit itu dibelanjakan kepada perkara yang memberi faedah sahaja. Ramai yang menyangka bahawa rezeki hanya harta. Perlu diingat rezeki juga ialah tidak membelanjakan kepada perkara yang dilarang.

          Maksud al-Quran Mubarak ialah ayat-ayatnya punyai keberkatan dari sudut hukum zahir di mana ia mentarbiyahkan jiwa untuk hidup dengan istiqamah. Hakikatnya istiqamah tidak memberi beban walaupun sedikit dan yang membebankan manusia ialah penyelewengan. Kerana itu sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang mukmin makan dengan perut yang satu dan orang kafir makan dengan tujuh perut.” (Riwayat Muslim)

Sumber ~ Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply