Input your search keywords and press Enter.

Jakarta bersedia dengan kemuncak protes, Prabowo bakal fail tuntutan

Polis melepaskan gas pemedih mata ketika rusuhan di hadapan bangunan Agensi Pengawal Selia Pilihan Raya (Bawaslu) di Jakarta, 22 Mei lalu. -Foto Jakarta Post

M Update, 24/05/2019 – Satu bantahan jalanan besar-besaran dijangka berlaku di ibu kota ini hari ini ketika penyokong calon presiden kalah, Prabowo Subianto menyertai beliau untuk memfailkan tuntutan mencabar keputusan pilihan raya di Mahkamah Perlembagaan.

Perhimpunan itu dijangka menjadi kemuncak siri bantahan dan rusuhan maut yang melanda ibu kota ini sejak Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) mengumumkan kejayaan penyandang Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Polis Indonesia memberi amaran, bantahan jalanan mungkin memberi ancaman besar terhadap keselamatan ibu kota ini selepas mendapati sesetengah suspek perusuh yang ditahan sejak dua hari lalu mungkin dikaitkan dengan kumpulan militan.

Jurucakap Polis Nasional, Inspektor Jeneral Muhammad Iqbal berkata semalam, dua daripada ratusan perusuh yang ditahan sejak Selasa lalu didapati ada kaitan dengan Daesh dan berniat melancarkan serangan pengganas di tengah bantahan.

Polis berkata, pihaknya juga mengenal pasti tiga lagi suspek perusuh memiliki senjata api termasuk raifal panjang dan pendek, yang berniat mencetuskan keganasan dengan melakukan tembakan dan menjadikannya kelihatan ia dilepaskan kakitangan keselamatan.

“Ini adalah dua kumpulan berbeza. Ada banyak kumpulan yang berhasrat mengambil kesempatan demonstrasi, sebab itulah kami membuat gesaan supaya penduduk tidak mengambil bahagian dalam bantahan,” katanya memetik laporan The Jakarta Post.

Kumpulan perusuh berselerak di jalanan dan mencetuskan bantahan di Tanah Abang dan Sabang di tengah Jakarta serta Slipi di Barat Jakarta sehingga malam Rabu.

“Bantahan diadakan secara aman, namun secara tiba-tiba kira-kira 300 perusuh datang dan mengamuk, melancarkan serangan dan merosakkan infrastruktur. Kami berjaya mengawalnya jam 1.25 pagi (Khamis),” kata Muhammad.

Sejumlah 185 suspek perusuh dikenal pasti terbabit pada malam semalam ditahan, menambah 257 orang ditahan dalam rusuhan di tempat berbeza sejak awal Selasa lalu.

Polis berkata, tujuh maut dalam rusuhan sementara angka diberi Gabenor Jakarta, Anies Baswedan adalah lapan sementara sembilan pegawai polis cedera.

Prabowo dan pasukan kempennya menafikan sebarang pembabitan atau bertanggungjawab dalam bantahan jalanan dan rusuhan, menyifatkannya ‘tindakan pemprovokasi.’

Polis Jakarta bagaimanapun berkata, pihaknya merampas sebuah ambulans dengan lambang Parti Gerindra diketuai Prabowo membawa batu, wang dan sampul surat dipercayai menyokong perusuh.

Tiga orang dinamakan sebagai suspek dalam kaitan dengan kes itu, semuanya bekerja untuk cawangan Gerindra di Tasikmalaya, Jawa Barat, kata jurucakap polis Jakarta, Komrad Kanan Argo Yuwono.

Jurucakap pasukan kempen Prabowo, Dahnil Anzar Simanjuntak menegaskan, mereka tidak bersalah. Beliau juga tidak pasti jika Prabowo akan menyertai bantahan hari ini.

Leave a Reply