Input your search keywords and press Enter.

Thailand dakwa kru warga tempatan, Myanmar seludup Rohingya

M Update, 12/06/2019 – Pihak berkuasa Thailand mendakwa kapten dan kru sebuah bot membawa 65 Muslim Rohingya atas tuduhan membantu penghijrahan secara haram selepas kumpulan itu ditemui terkandas di pulau selatan negara itu, kata polis hari ini.

Pendatang terdiri daripada 29 lelaki, 31 wanita dan lima kanak-kanak itu ditemui di pulau Rawi dalam wilayah Satun apabila bot mereka tersadai disebabkan masalah enjin, kata polis semalam.

Kru terdiri daripada lima warga Myanmar dan kapten berbangsa Thailand, didakwa membantu rakyat asing memasuki negara itu secara haram, kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

“Kami mendakwa suspek warga Thailand dan Myanmar kerana membantu kemasukan pendatang secara haram,” kata Jeneral polis Suchart Thirasawat.

Katanya, pendatang Rohingya terbabit ditahan ketika pihak berkuasa mengenal pasti jika mereka adalah mangsa pemerdagangan manusia.

“Kami tidak mengenakan dakwaan ke atas penumpang Rohingya dan masih mengenal pasti jika mereka menjadi mangsa atau tidak,” kata Suchart.

Majoriti Muslim Rohingya menaiki bot terbabit sejak beberapa bulan lalu untuk sampai ke Malaysia, dibimbangi pihak berkuasa sebagai gelombang baharu pemerdagangan manusia di laut selepas tindakan keras penyeludupan pada 2015.

“Berdasarkan apa yang kami tahu setakat ini, pendatang Rohingya terbabit berasal dari kawasan sempadan antara Myanmar dan Bangladesh serta menuju ke Malaysia,” kata Jaruwat Kliangklao, gabenor wilayah Satun. -Reuters

Leave a Reply