Input your search keywords and press Enter.

Jenazah Morsi selamat dikebumikan

M Update, 19/06/2019 – Jenazah presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Morsi selamat dikebumikan semalam, serentak dengan gesaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) agar satu siasatan bebas dibentuk bagi menyiasat punca sebenar kematian Allahyarham, selepas rebah di mahkamah.

Pemimpin Islam berkenaan yang digulingkan pada 2013 selepas setahun pemerintahan dan kemudian didakwa atas tuduhan pengintipan, dikebumikan di Tanah Perkuburan Medinat Nasr, timur Kaherah.

Peguam Allahyarham, Abdel Moneim Abdel Maksoud berkata, jenazah Morsi dimandi dan disembahyangkan semalam di Hospital Leeman Tora.

Ia terletak berhampiran penjara bekas presiden awam pertama Mesir dan anggota Ikhwanul Muslimin itu ditahan selama enam tahun dalam keadaan terasing dan kesihatan yang semakin merosot.

Pejabat ketua pendakwa berkata, lelaki berusia 67 tahun itu rebah dan meninggal dunia ketika menghadiri perbicaraan Isnin lalu, atas tuduhan bekerjasama dengan kuasa asing dan kumpulan militan.

Abdel Maksoud berkata, upacara pengebumian Morsi hanya dihadiri kira-kira 10 anggota keluarga dan rakan karib, termasuk dirinya sendiri.

Sejumlah pengikut yang menangisi pemergian beliau turut dilihat memasuki kawasan perkuburan dengan diiringi anggota polis, namun tiada wartawan dibenarkan masuk.

Tanah perkuburan itu terletak di kawasan sama yang menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai terbesar dalam sejarah moden negara itu, iaitu gerakan menyuraikan penunjuk perasaan pertubuhan Islam di dua dataran di Mesir, beberapa minggu selepas Morsi digulingkan pihak tentera.

Lebih 800 orang maut hanya dalam tempoh sehari selepas pasukan keselamatan bertindak ke atas penunjuk perasaan yang mendesak Morsi dilantik semula sebagai presiden. – AFP

Leave a Reply