Input your search keywords and press Enter.

Man City, Man Utd Mara Ke Suku Akhir

M Update, 1/10/2020 – Pep Guardiola mengakui adalah penting untuk mencipta kemenangan bersih ketika juara bertahan Piala Liga, Manchester City mencipta kemenangan 3-0 mengatasi Burnley manakala Manchester United menyertai mereka di suku akhir selepas menewaskan Brighton juga 3-0 awal pagi tadi.

Skuad kendalian Guardiola berdepan kekalahan paling besar dalam Liga Perdana di laman sendiri di bawah kendalian bos dari Sepanyol Ahad lalu apabila Leicester membenam mereka 5-2. Dua gol Raheem Sterling di Turf Moor memastikan mereka melupakan sedikit kekalahan itu dan penyerang Sepanyol, Ferran Torres yang dibeli dari Valencia menambah gol ketiga City yang juga jaringan pertamanya buat kelab.

“Adalah penting kami tidak melepaskan gol dan pasukan bagus secara keseluruhan,” kata Guardiola. Apabila anda tewas, perkara paling penting ialah perlawanan seterusnya. Pertama kerana jika anda tewas kejohanan ini, anda terkeluar.”

Di Stadium Amex, Manchester United menghadiahkan lebih banyak kesukaran buat Brighton empat hari selepas menewaskan mereka 3-2 dalam saingan Liga Perdana. United, yang kali terakhir menang Piala Liga pada 2017, mendahului pada minit ke-44 menerusi tandukan Scott McTominay hasil sepakan percuma Juan Mata.

United menggandakan kelebihan pada minit ke-73 menerusi Mata dan Paul Pogba masuk dari bangku simpanan untuk meledak gol tujuh minit kemudian menerusi sepakan percuma mengatasi penjaga gol Brighton, Joel Veltman. – AFP