Input your search keywords and press Enter.

PKP 2.0 : PDRM, ATM Laksana SJR Di Seluruh Negara Langkah Efektif Putuskan Rantaian COVID-19

M Update 14/01/2021 – Penugasan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dalam mengurangkan pergerakan rakyat selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  bermula tengah malam tadi dengan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara. 

Pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19, yang semakin meningkat kini, turut dilaksanakan terutama di kawasan tumpuan.

Tinjauan Bernama di seluruh negara mendapati keadaan trafik bergerak lancar di kebanyakan jalan utama terutama di ibu negara dan ibu negeri yang lazimnya sesak pada sebelah pagi.

Di Kuala Lumpur, polis mengadakan 39 SJR di enam lokasi dan menempatkan seramai 1,291 pegawai dan anggota polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata setakat ini pihaknya belum mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang ingkar SOP yang ditetapkan ketika PKP.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata bilangan kenderaan memasuki daerah ini adalah seperti biasa dan pihaknya akan terus membuat pantauan di kawasan-kawasan dikenal pasti untuk memastikan pematuhan SOP pada tahap maksimum selain pemeriksaan semasa SJR.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe pula berkata pihaknya mengadakan tujuh SJR di daerah itu antaranya di Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong, Pahang dan dari Bentong ke Kuala Lumpur, selain turut membuat SJR di Rawang serta Selayang.

Di Negeri Sembilan, hari pertama pelaksanaan SJR  yang bermula tengah malam tadi berjalan lancar walaupun aliran trafik di plaza tol susur keluar masuk dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) tol Senawang, di sini sedikit sesak.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata terdapat 17 SJR di seluruh negeri ini melibatkan Jalan Lubok China- Melaka, Sungai Lui-Pahang, Tampin-Melaka dan Port Dickson-Sepang serta di plaza tol susur keluar masuk dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Tol Pedas, Tol Seremban-Labu, Tol Nilai-Plus, Tol Pajam-Mantin dan Tol Setul-Lekas.

Di Melaka, sebanyak 14 SJR secara tetap dan 11 SJR secara bergerak dilaksanakan dalam tempoh dua minggu PKP.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata sebanyak 10 SJR dilaksanakan di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah (lapan) dan Jasin (tujuh), membabitkan 700 pegawai dan anggota polis serta tentera yang ditugaskan secara bergilir-gilir di 25 sekatan yang dilaksanakan sepanjang 24 jam itu.

Di Johor, tinjauan Bernama pada tengah malam tadi mendapati polis mula melakukan persiapan untuk berkawal di SJR terutama di Plaza Tol Skudai arah Selatan seawal pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata SJR di Kulai melibatkan Plaza Tol Skudai, Lebuhraya Kulai, Senai Utara dan Sedenak dengan setiap SJR mempunyai seorang pegawai dan lima anggota yang berkawal selama 24 jam.

Di Perak, jumlah kenderaan di kedua-dua arah di Lebuhraya Utara Selatan sepanjang 222 kilometer di negeri ini berkurangan susulan larangan rentas negeri semasa tempoh PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan selama 14 hari bermula semalam.

Sebanyak 16 SJR dilaksanakan di Perak susulan larangan rentas negeri di seluruh negara.

Di Kedah, sebanyak 18 SJR dilaksanakan di negeri ini dalam tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat yang melibatkan keanggotaan pasukan barisan hadapan hampir 500 anggota polis termasuk tentera.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata terdapat 86 pasukan pemantauan bergerak dari satu tempat ke satu tempat di negeri ini semasa PKP Bersyarat ini bagi mengekang penularan COVID-19.

Di Perlis, sebanyak sembilan SJR dilaksanakan dalam tempoh PKP Pemulihan bermula pada 12.01 tengah malam semalam.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata sembilan SJR di negeri ini melibatkan tiga SJR Op Benteng dan enam SJR sempadan negeri.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan lebih 300 SJR dan mungkin berganda bergantung kepada situasi semasa di seluruh negara.

Beliau berkata SJR ini dilaksanakan di setiap jalan keluar plaza tol di lebuh raya dan jalan-jalan Persekutuan yang menghubungkan dua buah negeri yang terdapat PKP serta PKP Bersyarat.