Input your search keywords and press Enter.

KKM Jangka Kes Jangkitan COVID-19 Dapat Dikurangkan Dalam Tempoh 4 Minggu

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

M Update, 14/01/2021 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia dapat dikurangkan kepada sekitar 500 ke 1,000 kes sehari dalam tempoh empat minggu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam hingga 26 Jan, pihaknya akan meneliti data-data dan perkembangan kes COVID-19 dalam tempoh dua minggu ini. 

“Pada hemat saya dalam tempoh dua minggu ini, mungkin kita tak boleh mengurangkan (kes jangkitan) tetapi kita boleh mengelakkan kes daripada semakin bertambah.

“Kalau kita melaksanakan selama empat minggu, insya-Allah kita boleh kurangkan jumlah kes kepada 1,000 atau kalau boleh kurang 500 kes (sehari),” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini semalam.

“Selepas PKP, kita akan laksanakan PKP Bersyarat (PKPB) dan kita jangka pada Mei dan Jun kita dapat melandaikan semula lengkungan graf,” katanya. 

Dr Noor Hisham berkata dengan pelaksanaan semula PKP, kerajaan telah meletakkan negara pada landasan yang betul dalam usaha menangani jangkitan wabak berkenaan. 

Sebaliknya jika negara masih melaksana PKPB, KKM mengunjurkan berdasarkan jumlah kes semasa ketika ini, kes harian pada 12 April depan dijangka mampu mencecah sehingga 5,000 kes manakala 8,000 kes pada penghujung Mei, katanya.

Dr Noor Hisham berkata pendekatan lebih drastik perlu diambil dalam memutuskan rantaian jangkitan pandemik tersebut.

“Kerajaan kena lihat tindakan bersesuaian. Kerajaan telah jalankan PKPB dari 14 Okt hingga kini tetapi PKPB kini tidak lagi sesuai,” katanya. 

Dr Noor Hisham berkata pengisytiharan darurat membolehkan KKM  mengadakan mesyuarat  bersama hospital swasta esok untuk menangani COVID-19  dan juga melihat keperluan menggunakan kemudahan hospital swasta untuk merawat  pesakit bukan COVID-19. 

Beliau juga berkata mesyuarat dengan hospital swasta itu antaranya ialah bagaimana untuk menempatkan pesakit bukan COVID-19 seperti pesakit kanser supaya dapat  meneruskan rawatan. 

Dr Noor Hisham berkata bagi menampung tenaga kerja dan membuka lebih banyak ruang untuk rawatan pesakit COVID-19, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut membantu dalam menawarkan jawatan seperti jururawat bagi keperluan itu.

Mengenai varian United Kingdom B117 mutasi yang dikesan KKM pada Isnin, Dr Noor Hisham berkata kes itu melibatkan rakyat Malaysia berumur 22 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom.

Beliau berkata saringan mengesan mutasi baharu telah bermula Oktober lepas dan mengesan 13 kes positif tetapi hanya satu kes boleh dijalankan penjujukan genom kerana nilai kitaran ambang rendah. 

Susulan itu, pada ujian pertama individu berkenaan negatif namun positif pada ujian kedua pada 28 Dis lepas. Dia telah diasingkan dan seterusnya dibenarkan keluar, kata Dr Noor Hisham. 

“Hanya satu kes dan tiada kontak rapat dikesan,” katanya. 

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata KKM turut melakukan pemantauan terhadap individu yang pulang dari negara yang melaporkan varian baharu antaranya Belanda, Turki, Singapura, Filipina dan India. 

Sementara itu, beliau berkata persepsi KKM menggunakan kaedah Tindak Balas Rantai Polimer Transkripsi (RT-PCR) adalah tidak benar. 

Sebaliknya, beliau berkata KKM menggunakan RTK-Antigen dalam melakukan saringan COVID-19 bermula Mei lepas. 

Katanya jumlah penggunaan RTK-Antigen telah mencecah 1.3 juta, dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga memperoleh satu juta RTK-Antigen untuk saringan.