Input your search keywords and press Enter.

COVID-19 : Pelajar Dengan Suhu Lebih 37.5 Darjah Dilarang Masuk Kelas

M Update, 22/01/2021 – Pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang hadir untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah masing-masing, tidak dibenarkan masuk ke kelas, jika suhu badan dikesan melebihi 37.5 darjah celsius.

Sebaliknya, mereka akan ditempatkan dalam bilik isolasi sehinggalah berlakunya penurunan suhu badan.

Pengarah Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani, menegaskan jika suhu badan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu, tidak berubah pengurusan sekolah akan menghubungi Pegawai Kesihatan daerah untuk tindakan susulan.

“Pengurusan sekolah hanya dibenar memaklumkan keadaan calon berkenaan kepada ibu bapa masing-masing tetapi mereka tidak digalakkan untuk mengambilnya.

“Tindakan itu terpaksa dilakukan, bagi mengelak ahli keluarga calon SPM dan STPM yang mengikuti pengajian secara bersemuka itu dijangkiti virus COVID-19, jika anak mereka mengalami gejala,” katanya semalam.

Salim berkata, setakat ini tiada kes dalam kalangan 17,913 calon SPM dan 5,013 calon STPM yang mengikuti PdP bersemuka diarahkan pulang kerana demam dan mengalami jangkitan virus COVID-19.

Katanya, ibu bapa calon SPM dan STPM juga diminta sentiasa membekalkan pelitup muka.

“Pengurusan sekolah juga sudah diarahkan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan ada antara calon SPM dan STPM tidak mengalami gejala COVID-19,” katanya.