Input your search keywords and press Enter.

Vaksinasi COVID-19 Penting Untuk Selamatkan Nyawa

Perunding dalam Perubatan Respiratori dan Dalaman, Pusat Paru-paru Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Helmy Haja Mydin.

M Update, 22/01/2021 – Vaksin COVID-19 amat penting dalam mengurangkan kadar kematian dan morbiditi pandemik itu, terutama dalam kalangan warga emas dan kumpulan yang berisiko tinggi, kata seorang pakar perubatan respiratori.

Perunding dalam Perubatan Respiratori dan Dalaman, Pusat Paru-paru Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Helmy Haja Mydin berkata ia termasuk petugas barisan hadapan, yang merupakan kumpulan berisiko tinggi akibat sering terdedah dengan persekitaran yang berkaitan jangkitan COVID-19.

“Vaksin telah dibuktikan selamat untuk kegunaan umum, dan amat penting bagi melindungi mereka yang menghidap penyakit kronik. Ia juga menyediakan lapisan perlindungan bagi perkhidmatan yang amat penting kepada negara,” katanya.

Walaupun majoriti pesakit COVID-19 sembuh, Dr Helmy berkata terdapat jumlah yang besar dalam kalangan mereka berisiko mengalami komplikasi teruk dan kesan yang buruk, termasuk mereka yang sudah berumur (>50 tahun) atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes, hipertensi, kegagalan jantung, kegagalan buah pinggang dan obesiti.

“Perlu diingatkan bahawa ramai dalam kalangan kita di Malaysia memilik masalah kesihatan ini. Contohnya Malaysia merupakan salah sebuah negara yang memiliki kadar pesakit diebetes tertinggi di Asia – satu dari lima orang dewasa berumur 18 tahun di Malaysia mempunyai masalah diabetes.

“Dalam kes-kes teruk COVID-19, paru-paru boleh rosak, dan dalam senario lebih buruk lagi, pelbagai organ mulai merosot. Bagi mereka yang selamat dari gejala ini, sesetengahnya menanggung akibat yang teruk seperti fibrosis paru-paru dan tidak bermaya.

Dr Helmy berkata inilah sebabnya vaksin itu amat penting di samping langkah-langkah meningkatkan kesihatan awam seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal, dengan semua ini berkait rapat dengan usaha mengurangkan risiko kesan virus COVID-19 terhadap individu, dan juga dari segi kemudahan kesihatan secara keseluruhannya.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan bagi sesetengah kumpulan, seperti kanak-kanak dan ibu mengandung, vaksin itu mungkin tidak sesuai, namun menurut Dr Helmy kelompok ini masih boleh dilindungi dengan pelaksanaan proses vaksinasi terhadap orang ramai di sekeliling mereka dan mewujudkan imuniti dalam kumpulan besar.

Menurutnya sebaik sahaja penyebaran virus itu dihentikan, bagi mereka yang tidak divaksin juga akan dilindungi disebabkan penurunan risiko pendedahan, dan ini akan memberikan lebih kebebasan pergerakan, dan memberi kesan terus kepada ekonomi untuk kembali pulih.

Berhubung kesan sampingan vaksin, Dr Helmy berkata ia biasanya melibatkan demam tidak serius, di samping rasa tidak selesa semasa suntikan, dan adakalanya dalam kes terpencil mungkin ada yang mengalami reaksi alahan.

“Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika melaporkan bahawa reaksi alahan kepada vaksin Pfizer berlaku terhadap sekitar 11 orang bagi tiap satu juta vaksinasi. Berbanding dengan kadar kematian COVID-19 di Malaysia: empat dalam setiap 1,000 jangkitan, dan ia tidak termasuk mereka yang terselamat tapi mengalami kegagalan organ,” katanya.

Beliau berkata pihak perubatan sentiasa mempunyai sistem bagi potensi kesan perubatan, dan dalam banyak keadaan, terdapat faktor lain yang membawa kepada kesan yang buruk kesihatan, seperti penyakit yang telah sedia ada.

“Perkara ini tidak selalu dikongsi dengan orang ramai, yang tambah menyukarkan dalam konteks laporan berita. Satu kematian mungkin boleh dikaitkan dengan vaksin, namun berita susulan beberapa hari kemudian mungkin ‘disembunyikan’ dalam liputan berita, yang mendedahkan bahawa pesakit itu sebenarnya meninggal dunia akibat kanser.

“Adalah penting untuk menganalisis berita dengan lebih kritikal, dan mendapatkan maklumat dari sumber yang boleh dipercayai,” katanya.

Beliau berkata penting diingatkan bahawa sebarang vaksin yang diberikan kepada rakyat, perlu menjalani ujian yang rapi terlebih dahulu oleh Kementerian Kesihatan bagi menjamin keselamatan penggunaannya.

“Kita bukanlah terlalu pantas, ataupun terlalu lambat dalam memperoleh vaksin, negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun akan melaksanakan proses imunisasi penduduknya sekitar tempoh waktu yang sama (dengan kita).

“Ini memberikan kerajaan waktu yang mencukupi bagi menangani cabaran logistik vaksinasi seluruh penduduk. Ia juga penting dalam memberikan kita masa untuk melihat cabaran yang dihadapi negara-negara lain dan mempelajari dari pengalaman mereka,” katanya.

Bulan lepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hampir 27 juta, atau lebih 80 peratus daripada penduduk Malaysia dijangka akan menjalani proses vaksinasi dalam suku pertama tahun depan.

Penghantaran pertama vaksin dijangka akan sampai hujung Februari ini, dengan kumpulan pertama diberikan vaksin awal bulan Mac, dan program vaksinasi dijalankan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan.

Menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Memastikan Akses kepada Bekalan Vaksin COVID-19, kerajaan akan memastikan ketelusan dalam pemerolehan vaksin itu, dan memberikan keutaman tertinggi kepada Program Imunisasi Nasional, dengan RM3 bilion diperuntukkan khusus bagi tujuan itu.