Input your search keywords and press Enter.

Polis Rekod Kutipan Saman RM395.3 Juta Tahun Lalu

M Update, 27/01/2021 – Polis merekod kutipan kompaun berjumlah RM395.3 juta daripada 5.2 juta saman dikeluarkan sepanjang tahun lalu, berbanding kutipan RM305.9 juta hasil lima juta saman pada 2019.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata ia menunjukkan statistik kutipan kompaun meningkat kira-kira RM89 juta atau 29.2 peratus, pada tahun terbabit.

“Kita sasar kutipan saman sebanyak RM400 juta pada tahun lalu tapi kita tak capai angka berkenaan, semua kutipan itu akan disalurkan kepada kerajaan.

“Pada 2020, sebanyak 7,604 operasi dijalankan dan hasilnya 7,655 tangkapan dilakukan. Seramai 3,394 individu ditahan mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana kesalahan mabuk.

“Lagi 2,624 orang mengikut Seksyen 42 APJ 1987 (samseng jalanan) dan 1,637 tangkapan bagi lain kesalahan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azisman berkata, pihaknya berada pada fasa terakhir untuk membangunkan aplikasi dalam talian, khusus untuk orang awam membayar saman.

“Sistem dalam talian itu akan dibangunkan di portal dan aplikasi yang boleh diakses melalui telefon pintar.

“Pembayaran saman itu akan menjimatkan masa orang awam selain sebagai usaha mengawal penularan COVID-19.

“Nama aplikasi masih dibincangkan dengan Tan Sri (Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador). Aplikasi itu akan dilancarkan dalam masa terdekat mungkin sebulan atau dua bulan lagi,” katanya.