Input your search keywords and press Enter.

Ramai Delegasi Hargai Kelantangan Dr Mahathir

M Update, 30/9/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi tumpuan delegasi dari seluruh dunia selepas lantang mengkritik lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menggesa badan dunia kembali semula kepada matlamat asal penubuhannya.

Ramai delegasi negara asing beratur panjang untuk bersalaman dan beramah mesra dengan Perdana Menteri tertua di dunia itu selepas beliau menyampaikan ucapannya pada Perbahasan Umum Sesi ke-74 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York, kelmarin. Dalam rakaman video yang dimuat naik ke Twitter oleh seorang pegawai kanannya, Dr Mahathir dilihat dikerumuni puluhan delegasi pelbagai negara.

Malah, seorang daripada mereka mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana lantang menyuarakan mengenai pelbagai perkara.

“Terima kasih atas sokongan anda,” ucap seorang delegasi yang bersalam dengan Dr Mahathir, disusuli sapaan delegasi lain yang mahu bersalam, bergambar dan bertanyakan sesuatu kepada beliau.

Terdahulu, dalam ucapan selama hampir 30 minit itu, Dr Mahathir mencadangkan supaya penggunaan kuasa veto hanya sah jika dua negara yang mempunyai kuasa veto bersama tiga anggota yang tidak memiliki kuasa veto bersetuju untuk menggunakannya demi memastikan kekerapan salah guna kuasa veto berkurangan.

Dr Mahathir menegaskan PBB sudah hilang ‘taring’ kerana gagal melindungi negara miskin daripada peperangan. Seperti biasa, Perdana Menteri juga terus memperjuangkan hak rakyat Palestin dan mengutuk kezaliman Israel selama ini.

“Dunia tidak peduli walaupun Israel melanggar undang-undang antarabangsa, merampas kapal yang membawa ubat-ubatan, makanan dan bahan binaan di perairan antarabangsa,” tegas beliau.

Dr Mahathir juga membidas kezaliman kerajaan Myanmar ke atas masyarakat Rohingya di Rakhine. – BH Online

Leave a Reply