Cari padah apabila tindakan seorang lelaki ‘menayangkan’ jaket lutsinar (vest) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kereta yang dipandunya membawa padah selepas dia ditahan polis kerana didapati dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuari, Cheras.
Ketika pemeriksaan oleh Unit Rondaan Bermotosikal (Team Ninja) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, lelaki itu mendakwa dirinya adalah pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang bertugas di Bukit Aman.
Namun helah suspek berusia 34 tahun itu terbongkar selepas dia gagal menunjukkan kad kuasa polis serta kad pengenalan dirinya selain gagal menjawab beberapa soalan ketika ditanya oleh anggota IPD Cheras.
Dua wanita warga Indonesia berusia 18 dan 22 tahun turut berada bersama suspek ketika ditahan.
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati lelaki itu tidak pernah bertugas dalam pasukan PDRM namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti motif memiliki vest polis berkenaan.
Pihak polis masih menyiasat sama ada suspek menggunakan vest polis itu untuk tujuan jenayah pemerasan atau penipuan dari mana sebenarnya suspek mendapatkan vest tersebut.
Sumber : Berita Harian