Input your search keywords and press Enter.

Tun Fatimah


Tun Fatimah adalah seorang serikandi Malaysia yang terkenal dan merupakan anaknda perempuan kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Terkenal sebagai serikandi wanita tersohor, Tun Fatimah amat handal dalam seni persilatan serta menggunakan senjata seperti keris dan lembing. Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir ialah anak Bendahara Seri Nara Di Raja Tun Ali dengan Tun Kudu. 

Tun Fatimah sudahpun berkahwin apabila Sultan Mahmud cuba memperisterikannya. Sultan Mahmud Shah turut dijemput sama untuk meraikan majlis perkahwinan Tun Fatimah. Sultan berasa amat murka kerana Bendahara tidak pernah menyembahkan kepada baginda bahawa beliau memiliki anak gadis yang cantik jelita.  Sultan Mahmud dikhabarkan telah meninggalkan majlis perkahwinan tersebut tanpa menyentuh santapan. Raja Mandaliar dan Kitul dengan dipersetujui sama oleh Laksamana Khoja Hassan telah memfitnah Bendahara, yang kononnya Bendahara itu telah menempah persalinan dan cerek yang semuanya daripada emas kerana mempunyai agenda ingin merampas takhta Melaka. Sultan bertambah murka, dan tanpa usul periksa lantas menyerahkan keris kuasanya kepada Tun Sura dan Tun Setia untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada seluruh keluarga Bendahara kecuali Tun Fatimah. Terbunuhlah Bendahara, Seri Nara Diraja, Tun Hassan dan kerana titah Sultan tersebut.


Namun akhirnya Sultan Mahmud sedar atas keterlanjuran perbuatannya dan bersungguh-sungguh menyintai Tun Fatimah. Tun Fatimah dipinang dan dibawa masuk ke istana secara besar-besaran dan tidak lama kemudian berlangsunglah perkahwinan antara Tun Fatimah dan Sultan Mahmud Shah. Tun Fatimah terpaksa akur dengan titah Sultan Mahmud kerana tidak mahu menderhaka. Pada mulanya Tun Fatimah enggan beradu bersama-sama dan melayani Sultan Mahmud, namun setelah menyedari keikhlasan dan keinsafan baginda, Tun Fatimah akhirnya membalas cinta Paduka Seri Sultan Mahmud Shah. Kerana terlalu menyayangi dan mengagumi paras rupa Tun Fatimah yang cantik, Sultan Mahmud kemudiannya telah mengisytiharkan Tun Fatimah diangkat menjadi Paduka Seri Permaisuri Melaka.

Tun Fatimah akhirnya bersetuju menjadi permaisuri Melaka. Dengan menjadi permaisuri Melaka, Tun Fatimah dengan dayang-dayang Istana dan rakan-rakan wanitanya yang lain telah berjaya menangkap orang-orang yang memfitnah keluarganya. Tun Fatimah dikatakan pandai bermain keris dan tombak serta handal dalam ilmu persilatan akhirnya berjaya menuntut bela atas pembunuhan keluarganya. Raja Mandeliar, Kitul dan Laksamana Khoja Hassan dihukum bunuh dan telah menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.  Paduka Seri Permaisuri Tun Fatimah telah melahirkan empat orang anak, di antaranya adalah Raja Raden Ali yang akan memerintah Johor sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah II selama 36 tahun. Baginda merupakan Paduka Seri Permaisuri yang sangat terkenal dengan semangat perjuangannya yang tinggi dan berjuang bersama-sama Sultan Mahmud untuk mempertahankan Melaka.

Leave a Reply