Input your search keywords and press Enter.

KESAN PERJANJIAN BURNEY DI KEDAH, KELANTAN DAN TERENGGANU

Pengaruh Siam di negeri-negeri Melayu Utara membimbangkan British kerana perkembangan ini menjejaskan pendudukan British di Pulau Pinang serta kepentingan British di Tanah Melayu. Akibatnya pada Disember 1825, Kapten Burney dihantar oleh Robert Fullerton bagi mengadakan rundingan dan menandatangani perjanjian dengan Siam. Henry Burney telah diarah berbincang mengenai hubungan perdagangan dan persahabatan antara Siam dengan British, kepentingan British di Tanah Melayu mengenai perdagangan, masalah pembahagian takhta, Sultan Ahmad Tajuddin dan soal kemerdekaan Perak dan Selangor. Selepas berada di Siam selama 6 bulan, Henry Burney berjaya menandatangani perjanjian pada 20 Jun 1826.Kesan Perjanjian Burney bukan sahaja di Perak, kesan perjanjian ini juga memberi kesan kepada Kedah , Terengganu dan Kelantan.

KEDAH            

Jika dikaji syarat-syarat perjanjian Burney adalah suatu pengkhianatan British terhadap Sultan Kedah. British telah mematuhi syarat perjanjian dengan Siam iaitu bekerjasama dengan Siam untuk menghalang cubaan Sultan Kedah untuk mendapatkan kembali takhta. British bertindak demikian untuk menjaga kepentingan perdagangan di Kedah dan Siam. Sultan Ahmad Tajuddin tidak berputus asa dan telah berusaha dapatkan kembali takhta baginda dari Pulau Pinang pada tahun 1831-1841. Baginda mengatur langkah untuk menghalau Siam dengan mendapat bantuan orang-orang Melayu Kedah, Kelantan dan Trengganu pada tahun 1831, 1836 dan 1838 tetapi semuanya gagal kerana Kedah sudah dikepong. Sultan Kedah telah berpindah ke Melaka.        

 Walaubagaimanapun, pada tahun 1840 Sultan Kedah, Siam dan British mula berubah sikap dalam masalah ini. Sultan Kedah sedar baginda sudah tua dan tidak larat lagi untuk menyerang siam, manakala Siam pula berperang dengan Kedah telah menjejaskan kemakmuran dan terpaksa menanggung kos yang tinggi. Bagi British dibawah pentadbiran Gab. Bonham berpendapat dasar pro-Siam telah menjejaskan perdagangan British di negeri-negeri Melayu. Pada tahun 1841, Sultan Kedah telah menggunakan cara diplomasi iaitu dengan menghantar anak baginda Tengku Daik ke Bangkok. Tg. Daik telah berjaya memujuk Siam menaikkan kembali Sultan Kedah ke takhta dan menarik balik pegawai-pegawai Siam dari Kedah dengan beberapa syarat. Antaranya ialah Kedah kekal dibawah Siam dan perlu menghantar bunga emas 3 tahun sekali; dan Kedah akan diperkecilkan kawasannya iaitu Sentul dan Perlis diasingkan. Jadi pada tahun 1842, Sultan Kedah naik takhta semula dan Perlis diasingkan dengan diperintah oleh Syed Sapee yang bergelar raja Perlis.

KELANTAN DAN TRENGGANU

Perjanjian Burney tidak menentukan dengan jelas hubungan Kelantan dan Terengganu dengan Siam. Akibatnya, Kelantan menerima pertuanan Siam tetapi Terengganu menolaknya. Terengganu menganggap negerinya tidak pernah dijajah oleh Siam. Penghantaran bunga emas hanya menjadi tradisi dan mengekalkan persahabatan dengan Siam. Oleh itu, Siam berusaha untuk mengukuhkan pengaruhnya di Terengganu dan mengekalkan pengaruhnya ke Pahang. Usaha ini dijalankan dengan melibatkan diri dalam perang saudara di Pahang (1857-1863) antara Wan Ahmad dan Wan Mutahir.

Pada Oktober 1862, satu angkatan Siam telah tiba di Kuala Terengganu dalam usaha membantu Wan Ahmad menyerang Pahang. Selain itu, kehadiran angkatan tersebut juga bertujuan membantu Sultan Mahmud dari Lingga merampas takhta Terengganu daripada bapa saudaranya, Sultan Omar yang tidak menerima pertuanan Siam. Kekacauan yang berlaku bukan sahaja mengganggu perdagangan di Pahang tetapi juga di Kelantan dan Terengganu. Akibat dari desakan pedagang-pedagang, gabenor Negeri-negeri Selat, iaitu Cavenagh telah menghantar sebuah kapal perang ke Kuala Terengganu pada November 1862 dengan tujuan hendak mendesak Siam dan Sultan Mahmud dari Lingga berundur dari Terengganu dan tidak melibatkan diri dalam perang saudara Pahang.

Keengganan Siam telah menyebabkan kapal perang British membedil Kuala Terengganu pada 4 November 1862. Akibatnya, angkatan tentera Siam dan Sultan Mahmud dari Lingga mengundurkan diri. Tindakan British ini berjaya menghalang pengaruh Siam dan merebak ke Pahang.

Leave a Reply