Berdasarkan pada beberapa definisi yang dikemukakan dan bersesuaian dengan situasi di Malaysia dengan ketentuan tertentu dari sudut kepercayaan, pengamalan dan pengabdian di negara ini, maka ajaran sesat didefinisikan sebagai sebarang ajaran yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam. Sedangkan pada hakikatnya ajaran tersebut BERTENTANGAN dengan sumber utama Islam iaitu Al-Qur’an, As-Sunnah, ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau pandangan ASWJ dari sudut akidah, syariat dan akhlak.
Ajaran sesat telah bermula sejak awal Islam di mana wujud kelompok-kelompok yang dipimpin oleh individu-individu yang mengaku sebagai nabi. Menurut Abu Al-Sa’ud (Engku Ahmad Zaki 2007: 29-35), terdapat 11 orang individu yang memimpin ajaran sesat sejak zaman Rasulullah SAW dan zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin atau zaman awal Islam.
Daripada 11 kelompok, 3 daripadanya muncul pada zaman Rasulullah SAW iaitu kelompok yang dipimpin oleh Al-Aswad Al-Unsi (w. 11 H) daripada Bani Madlaj, Musailamah Al-Kazzab (w. 11 H) daripada Bani Hanifah dan Tulaihah Bin Khuwailid (w. 21 H) daripada Bani Asad.
Sebanyak tujuh kelompok yang muncul pada zaman Sayidina Abu Bakar As-Siddiq. Antaranya ialah kelompok yang dipimpin oleh Uyainah Bin Hasan daripada kabilah Fazarah, Qurrah Bin Salamah Al-Qusyairi daripada kabilah Ghatafan, Al-Fuja’ah Bin Abdul Yalil (w. 11 H) daripada kabilah Bani Sulaym, Malik Bin Nuwairah (w. 12 H) daripada kabilah Bani Yarbu’, Sajah Binti AlMundhir (w. 55 H) daripada kabilah Bani Tamim, Al-Ash’ath Bin Qais (w. 40H) daripada kabilah Kindah dan Al-Hatam Bin Zaid daripada kabilah Bani Bakr. Kesemua tujuh kelompok ini telah dibanteras dan diperangi oleh Sayidina Abu Bakar As-Siddiq RA.
Kelompok yang ke-11 muncul pada zaman Sayidina Umar Al-Khattab (w. 23 H). Kelompok yang sesat dan menyeleweng daripada Islam ini dipimpin oleh Jabalah Bin Al-Ayham (w. 20 H) daripada kabilah Ghasan. Secara umum, kesemua kelompok yang sesat dan menyeleweng daripada Islam ini telah dibanteras dan diperangi oleh para Khulafa’ Ar-Rasyidin. Inilah antara tanggungjawab para pemimpin umat demi menjaga agama Allah SWT.
Sekiranya diperhalusi, kebanyakan ajaran sesat dan menyeleweng daripada Islam yang muncul selepas Nabi Muhammad SAW adalah dengan dakwaan sebagai nabi atau rasul. Ini kerana masyarakat Arab melihat dakwaan sebagai nabi atau rasul adalah sebagai bentuk baharu dalam mendapatkan pengikut dan kedudukan. Sebagaimana yang dimaklumi, masyarakat Arab hidup dalam kelompok dan kabilah. Ketua atau pemimpin kelompok atau kabilah biasanya individu yang paling berpengaruh kedudukannya sama ada dari keluarga terhormat, ternama dan berharta. Justeru, dakwaan sebagai nabi ketika itu dilihat sebagai bentuk baharu dalam mendapatkan pengikut dan kedudukan.
Ajaran sesat telah mula dikesan bergerak di Malaysia sebelum tahun 1950-an lagi. Kebanyakan ajaran sesat bergerak secara senyap-senyap atau tanpa disedari menyebabkan ia sukar dikesan dan dibanteras oleh pihak berkuasa agama dengan lebih awal. Ajaran sesat dipercayai dibawa masuk oleh penganutpenganut dari negara-negara asal timbulnya ajaran sesat tersebut atau rakyat tempatan yang kembali semula ke Malaysia setelah belajar atau menetap di luar negara.
Munculnya ajaran sesat di negara ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya disebabkan wujud golongan musuh-musuh Islam yang ingin meruntuhkan ajaran Islam dengan mengubah, menyeleweng dan merosakkan ajaran Islam. Musuh-musuh Islam tidak akan duduk diam dan mereka sentiasa berusaha menghapuskan Islam. Namun, Allah SWT sentiasa menjaga agama yang diredaiNya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”
Selain itu, ajaran sesat wujud disebabkan adanya individuindividu yang mempunyai kepentingan diri seperti untuk mendapatkan kedudukan, pengaruh, pangkat, harta dan sebagainya.
Sumber – Majlis Agama Islam Selangor