Input your search keywords and press Enter.

Rebut Dana BNM RM1 bilion

M-Update,30/1/2019, KUALA LUMPUR- Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (Dana BNM) dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion dijangka dapat meningkatkan kemampuan kumpulan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah pertama dengan kadar pembiayaan rendah sebanyak 3.5 peratus setahun.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, selain daripada membantu segmen sasar di seluruh negara membiayai pembelian rumah pertama mereka, insentif tersebut juga dianggarkan dapat menyumbang kepada ansuran bulanan lebih rendah iaitu 23 peratus berban­ding skim pembiayaan sedia ada.

Walau bagaimanapun beliau berkata, Dana BNM yang menawarkan kadar pembiayaan rendah itu harus dilihat sebagai satu kemudahan sementara, untuk suatu tempoh terhad dan dilaksanakan secara berhemat.“Bagi memastikan pembia­yaan rumah terus mapan, kadar pembiayaan rumah perlu mencerminkan kos risiko sebenar dihadapi oleh institusi kewangan dengan mengambil kira kos dana, kos pentadbiran, risiko kecairan dan kredit pinjaman.

“BNM dan institusi kewa­ngan terus komited menyediakan perkhidmatan kewangan yang transformatif bagi memboleh­kan segenap lapisan masyarakat dapat menabung, melabur dan me­minjam secara produktif dan meningkatkan kualiti kehidupan.

“Pembeli pula perlu mempunyai simpanan secukupnya dan keupayaan membayar pinjaman mereka sepanjang tempoh pinjaman untuk memastikan pemilikan rumah.

“Malah, bakal pembeli juga disarankan mengambil langkah praktikal dalam memberi ke­utamaan ke atas komitmen utama perbelanjaan sara hidup agar penambahan hutang melalui pembiayaan rumah tidak membebankan kedudukan kewangan,” katanya dalam majlis pelancaran Dana BNM dan Portal Rumahku di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Amiruddin Hamzah; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Pengerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Anuar Mohd. Hassan.

BNM melancarkan Dana BNM berjumlah RM1 bilion bagi pembeli rumah warganegara Malaysia dengan pendapatan maksimum bulanan isi rumah sebanyak RM2,300 untuk pembelian rumah kediaman berharga RM150,000 ke bawah.–Utusan

Leave a Reply