M-Update,7/2/2019, KOTA TINGGI: Empat beranak terbunuh dalam kemalangan selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 55 Jalan Kluang-Kota Tinggi, di sini, tengah malam tadi. Mohd Firdaus Januri, 34, dan isterinya Norlia Osman, 33, bersama dua anak mereka iaitu Muhammad Adli, 6, dan Nur Dalili, 4, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata kejadian jam 12.33 tengah malam tadi itu membabitkan dua kereta iaitu Honda Civic dinaiki empat keluarga itu, sebuah Proton Saga dan sebuah lori.“Siasatan awal mendapati seorang pemandu lori yang dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum memasuki laluan bersebelahan lalu bertembung dengan kedua-dua kereta.
“Pertembungan menyebabkan empat mangsa dalam Honda Civic meninggal dunia manakala pemandu Proton Saga mengalami luka ringan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.Ahsmon berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, pemandu lori berusia 30-an akan direman untuk saringan air kencing dan siasatan lanjut masih dijalankan.
–Bharian