M Update, 19/2/2019 – Pihak pengurusan Ripple mengumumkan barisan hadapan terbaharu stesen radio di bawah naungannya, Hot FM dengan kemasukan Shuib Sepahtu, berkuat kuasa semalam.
Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad bergandingan bersama Shuk dan Fizie dalam slot popular, Geng Pagi Hot (GPH) yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.
Masih banyak idea yang ingin kami hidangkan kepada pendengar dan langkah ini diambil untuk sentiasa tampil dengan pembaharuan selain mengukuhkan jenama Hot FM dari segi muzik, hiburan dan pengisian gaya hidup terkini.
Perubahan yang dilakukan Hot FM termasuk kemasukan Shuib berdasarkan kekuatan setiap penyampai yang kami percaya, mereka mampu menyampaikan isi kandungan ditetapkan.
El yang sebelum ini mengendali segmen Mega Hot akan mengendalikan segmen Muzik Hot dari jam 10 pagi hingga 4 petang.
Sementara itu, Deen dan Haziq bergandingan dalam segmen Jam Hot dari jam 4 petang hingga 8 malam, Zetty yang juga satu-satunya ‘bunga’ di Hot FM ke udara pada sebelah malam dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam untuk segmen Mega Hot.
Rombakan tersebut dilakukan sesuai dengan usia stesen yang kini memasuki tahun ke-13 ke udara.
Dalam pada itu, GPH masih mengekalkan segmen yang mendapat perhatian tinggi dan menjadi ikutan pendengar iaitu segmen Sketcah GPH, English GPH bersama Teacher Fati, Story Mory Jihan dan Kak Elo.
Seiring dengan Hot FM yang kini menjangkau usia 13 tahun pada 6 Februari lalu, Hot FM juga merancang beberapa kempen menarik untuk disertai pendengar radio Malaysia.
Ini termasuk Hot FM 13 Lit yang bermula pada 13 Februari lalu, juga Hot Selebriti yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 atau wang terkumpul bermula semalam.
Secara keseluruhan diharap perubahan dan pengenalan kepada barisan penyampai Hot FM itu dapat menjadikan Hot FM pilihan pendengar masyarakat masa kini.
Sumber : Harian Metro