Input your search keywords and press Enter.

16 negeri fail saman pentadbiran Trump

M-Update,20/2/2019, SAN FRANCISCO: Sebanyak 16 negeri mengemukakan tindakan undang-undang terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump susulan pengisytiharan darurat kebangsaan, dalam usaha untuk mendapat dana membiayai pembinaan tembok bersempadan dengan Mexico.

Tindakan undang-undang yang difailkan di Mahkamah Persekutuan California itu menegaskan, arahan presiden bercanggah dengan Fasal Penyerahan yang menggariskan prosedur perundangan dan Fasal Peruntukkan yang mentakrifkan Kongres sebagai penentu muktamad dana awam.

Langkah itu diumumkan sebelum ini oleh Peguam Negara California, Xaiver Becerra yang mengatakan, negerinya dan beberapa negeri lagi mempunyai hak perundangan kerana mereka berdepan risiko kehilangan wang yang digunakan untuk beberapa projek ketenteraan, bantuan bencana dan tujuan lain.

Bagaimanapun, beberapa orang senator Republikan menafikan pengisytiharan darurat dengan mengatakan ia mengundang permulaan yang bahaya dan berlebihan kepada eksekutif.

California, Colorado, Connecticut, Delaware, Hawaii, Illinois, Maine, Maryland, Michigan, Minnesota, Nevada, New Jersey, New Mexico, New York, Oregon dan Virginia adalah antara negeri yang mengemukakan tindakan undang-undang menuntut injunksi.

“Penggunaan dana tambahan persekutuan untuk pembinaan tembok adalah bercanggah dengan niat Kongres yang melanggar Perlembagaan AS, termasuk Fasal Penyerahan dan Fasal Peruntukan,” kata aduan itu.

Kertas tuntutan juga mengatakan, bahawa Trump membawa negara itu ke arah krisis perlembagaan yang direkanya sendiri.

“Kongres berulang kali menolak desakan Trump untuk membiayai pembinaan tembok sempadan, hingga menyebabkan kerajaan ditutup separa selama 35 hari, rekod paling lama, disebabkan pertikaian tembok sempadan itu,” kata kertas aduan itu.

Menurut kertas tuntutan itu lagi, selepas kerajaan dibuka semula, Kongres meluluskan dan presiden menandatangani undang-undang, dana sebanyak AS$1.375 bilion (RM5.62 bilion) untuk pembinaan pagar di sepanjang sempadan selatan.

Pada masa sama, Kongres menjelaskan bahawa pembiayaan itu tidak dapat digunakan untuk membina tembok seperti yang dikehendaki Trump.

Aduan itu turut mendedahkan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri melanggar Akta Dasar Alam Sekitar Negara kerana gagal untuk mengemukakan nilaian kesan pencemaran alam sekitar akibat pembinaan tembok yang memisahkan California dan New Mexico itu.

Pengisytiharan darurat yang diumumkan Trump pada Jumaat lalu membolehkan presiden melencongkan dana dari bajet ketenteraan Pentagon dan sumber lain. – AFP

Leave a Reply