Input your search keywords and press Enter.

Mana ada ESD yang jimatkan bil elektrik

M Update, 22/2/2019 – Suruhanjaya Tenaga (ST) menegaskan, alat jimat tenaga (ESD) yang terdapat di pasaran tidak berkesan dalam mengurangkan bil elektrik pengguna seperti diiklankan.

Dalam kenyataan, suruhanjaya itu berkata, sudah mengkaji keberkesanan ESD yang dibuat dengan kerjasama beberapa pihak dan mendapati bacaan meter pengguna tiada perbezaan ketara. Katanya, kadar arus akan berkurangan apabila ESD dipasang, tetapi jumlah kuasa direkodkan tetap sama mengikut bilangan dan kadar kuasa peralatan elektrik yang digunakan.

Selain itu, tiada mana-mana badan bertauliah membuktikan alat berkenaan memberi kesan penjimatan tenaga elektrik yang ketara. Pengguna mungkin terpengaruh dengan demonstrasi oleh penjual, yang mana mereka menunjukkan perbandingan kadar arus elektrik yang menjadi lebih rendah selepas ESD dipasang,” katanya, hari ini.

Jelas ST, tiada juga perbezaan ketara terhadap kadar penggunaan elektrik yang diukur berdasarkan kilowatt-jam (kWj) penggunaan berdasarkan formula Arus x Voltan x Faktor Kuasa x Masa Digunakan. Pemasangan ESD tidak memberi penjimatan sehingga 30 peratus sebagaimana didakwa ke atas bil elektrik di premis domestik kerana meter elektrik merekodkan penggunaan kuasa sebenar (kWh) sedangkan pengguna ESD iaitu komponen utamanya adalah kapasitor, hanya memberi kesan kepada penggunaan kuasa reaktif (kVaR).

Malah, dalam keadaan beban pengguna yang rendah atau peralatan dimatikan, penggunaan ESD masih membolehkan meter merekodkan penggunaan elektrik,” katanya. Bagaimanapun, ST berkata, penggunaan kapasitor lebih memberi manfaat kepada sektor industri yang banyak menggunakan beban induktif kerana ia dapat menambah baik kadar kuasa sistem bekalan pengguna dan seterusnya mengelakkan pengguna dikenakan penalti oleh pihak utiliti.

Sehubungan itu, ST ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan mengatakan ESD ini termasuk dalam bentuk kad, boleh mengurangkan jumlah bil elektrik,” katanya. Pada masa sama, ST turut menyelar tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang menggunakan logo suruhanjaya itu bagi tujuan promosi ESD melalui pengiklanan di media sosial dan jualan terus kepada orang ramai.

ST tidak pernah meluluskan sebarang produk ESD dan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahguna logo ST. ST juga meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada suruhanjaya ini mengenai kegiatan tidak bertanggungjawab menyalahguna logo ST. Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut atau aduan dengan melayari www.st.gov.my,” katanya.

Sumber : HM Online

Leave a Reply