M Update, 1/3/2019 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan sememangnya mengesyorkan kepada ibu bapa supaya memberi suntikan imunisasi kepada kanak-kanak kerana ia adalah langkah pencegahan terhadap penyakit berjangkit.
Namun, Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, masih ada ibu bapa di negara ini yang enggan memberi suntikan imunisasi kepada anak mereka kerana mempertikaikan kesahihan status halal vaksin.
“Ia adalah satu pertikaian tetapi pihak JAKIM sudah keluarkan fatwa ia (vaksin) adalah halal.
“Vaksin diberikan sebagai langkah pencegahan jadi saya rasa eloklah ibu bapa di negara ini memberi suntikan imunisasi kepada anak masing-masing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Yayasan Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Dr Wan Azizah mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan. Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, pencapaian program imunisasi untuk demam campak pada 2017 sebagai contoh adalah pada tahap 88 peratus daripada 95 peratus yang disasarkan.
“Jadi, ibu bapa jangan dengarlah (apa yang yang disampaikan geng anti vaksin) , mungkin ada satu atau dua kes yang tidak bernasib baik tetapi keseluruhannya, suntikan imunisasi adalah selamat,” katanya.
Dr Dzulkefly sebelum ini dilaporkan berkata, kementerian terbabit mendapat desakan kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.
Ia ekoran kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Johor yang meninggal dunia akibat jangkitan difteria dan mangsa tidak pernah menerima suntikan imunisasi sejak dilahirkan.
Sumber : BH Online