Input your search keywords and press Enter.

Hawk Masih Relevan

M Update, 4/3/2019 – Pesawat Hawk yang telah mencapai usia 25 tahun dalam perkhidmatan TUDM masih kekal relevan sehingga kini bagi melaksanakan tugasan utamanya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang udara Malaysia agar sentiasa terpelihara.

Sejarah permulaan perkhidmatan pesawat Hawk TUDM adalah pada 15 April 1994 setelah 2 buah pesawat pertama melalui Memorandum of Understanding (MOU) di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan United Kingdom yang dimeterai pada 10 Dis 1990. Ketika itu, Kerajaan Malaysia telah bersetuju mendapatkan perkhidmatan pesawat Hawk 108 iaitu varian dua tempat duduk sebanyak 10 buah dan Hawk 208, varian Hawk dengan satu tempat duduk sebanyak 18 buah. Pesawat ini telah diterima secara berperingkat dengan 2 buah pesawat pada setiap bulan sehingga mencapai keseluruhan 28 buah pesawat.

Tahun 2019 menjadi detik bersejarah dan kebanggaan buat TUDM dalam meraikan Sambutan Ulang Tahun Jubli Perak Pesawat Hawk. Sambutan yang cukup meriah ini telah diadakan di Hangar No. 15 Skuadron Pangkalan Udara Butterworth.

Sepanjang 25 tahun perkhidmatan pesawat Hawk, pesawat ini telah dioperasikan oleh tiga buah skuadron iaitu No. 6 Skuadron, No. 9 Skuadron, dan No. 15 Skuadron. Antara operasi terbesar yang melibatkan pesawat ini adalah Ops Daulat pada Mac 2013 di mana 5 buah pesawat Hawk telah ditugaskan bagi melancarkan serangan bom udara ke Kawasan persembunyian pengganas di Lahad Datu. Disebabkan insiden ini, No. 6 Skuadron yang sebelum ini ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan, dipindahkan ke Pangkalan Udara Labuan bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Malaysia untuk menjaga kepentingan tanah air di Sabah dan Sarawak.

Disamping itu, pesawat ini juga digunakan sebagai pesawat latihan lanjutan bagi kursus peralihan pesawat pejuang yang dioperasikan oleh No. 15 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth di mana juruterbang-juruterbang muda dilatih untuk menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang sebelum melayakkan mereka untuk mengendalikan pesawat-pesawat pejuang yang lain dalam TUDM.

Sumber : TUDM

Leave a Reply