Input your search keywords and press Enter.

‘Sambung cari MH370 jika ada cadangan, bukti’

M-Update,4/3/2019, KUALA LUMPUR: Pencarian pesawat MH370 akan diaktifkan semula jika kerajaan menerima cadangan khusus dan bukti kukuh daripada mana-mana pihak berkaitan. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata antara faktor pertimbangan lain sebelum pencarian pesawat yang hilang lima tahun lalu itu diaktifkan semula ialah butiran perjanjian dengan syarikat pengendali pencarian.

“Jika ada bukti kukuh dan cadangan khusus terutama daripada Ocean Infinity, kita akan meneliti serta berbincang mengenainya (mengaktifkan pencarian).“Pendekatan ‘no cure, no fee’ (bayaran dibuat jika bangkai pesawat atau serpihan ditemui) akan terus digunakan bagi mengaktifkan semula misi pencarian.

“Kita sudah bekerjasama dengan mereka (Ocean Infinity) sebelum ini, justeru tiada halangan untuk mengadakan perbincangan lanjut sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis ulang tahun bagi memperingati tragedi MH370 yang kini memasuki tahun kelima, sejak dilaporkan hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China, pada 8 Mac 2014 lalu.Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), Ahmad Nizam Zolfakar.

Loke berkata, pihaknya dimaklumkan Ocean Infinity yang juga syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, mungkin mempunyai teknologi baharu bagi membantu misi pencarian MH370.Sehubungan itu, katanya, kementerian terbuka terhadap sebarang cadangan dan meneliti keberkesanan bantuan teknologi berkenaan, sebelum memeterai perjanjian bagi mengaktifkan semula misi pencarian.

“Mereka (Ocean Infinity) cakap mungkin ada teknologi baharu dalam tempoh 12 bulan lalu yang boleh digunakan untuk mencari kapal terbang itu.“Kalau mereka boleh yakinkan kita bahawa penggunaan teknologi baharu itu, selain syarat perjanjian memihak kepada Malaysia, maka misi pencarian berupaya diteruskan,” katanya.

Mengulas perkembangan semasa tragedi MH370, Loke berkata, kerajaan tidak menerima cadangan khusus bagi mengendalikan pencarian di darat, berbanding perairan selatan Lautan Hindi sebelum ini.Selain itu, katanya, kerajaan tidak menyembunyikan sebarang butiran maklumat daripada hasil pencarian daripada pengetahuan masyarakat, khususnya waris mangsa tragedi MH370.

“Apa saja maklumat yang kita dapat sudah dipaparkan dalam laporan akhir itu,” katanya merujuk kepada dokumen diterbitkan Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 ICAO Malaysia bagi MH370, pada 30 Julai tahun lalu.

–BHarian

Leave a Reply