M Update, 7/3/2019 – Seorang kanak-kanak yang cedera dirempuh kereta api di Pasir Mas, Selasa lalu, yang sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, sudah sedarkan diri dan menunjukkan perkembangan yang positif.
Jurucakap HUSM berkata, Muhammad Amirul Hakimi Muhd Yuslizam, 9, sudah dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke Wad Delima, semalam, tetapi masih dalam pemerhatian rapi doktor.
Katanya, doktor mengawasi perkembangannya dari semasa ke semasa dan jika kanak-kanak itu terus menunjukkan perkembangan positif, pihaknya akan membuang tiub di bahagian mulut, hari ini. Dia turut memberi tindak balas serta mengikut arahan doktor dan jururawat tetapi kelihatan sedikit letih selepas pembedahan membuang darah beku di kepala.
Pihak hospital sentiasa melaporkan perkembangan Muhammad Amirul kepada keluarga terutama ibunya, Nurul Ain Alias, 28, bagi mengurangkan kebimbangan mereka. Muhammad Amirul sangat kuat melawan sakit, mungkin kerana usianya yang masih muda ditambah dengan sokongan keluarga,” katanya.
Dalam kejadian jam 5.45 petang di perhentian Tok Uban, Pasir Mas, Selasa lalu, murid Tahun Tiga itu parah selepas dirempuh kereta api ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Sementara itu, bapanya, Muhd Yuslizam Yunus, 33, bersyukur melihat perkembangan positif anak sulungnya itu dan berdoa supaya cepat sembuh.
Tiada apa yang saya harapkan melainkan untuk melihat anak saya kembali sihat dan boleh ke sekolah seperti biasa. Selepas ini, kami akan lebih berhati-hati dan akan memastikan kemalangan sebegini tidak berulang lagi,” katanya.
Sumber : BH Onlime