Input your search keywords and press Enter.

11 negara gantung operasi Boeing 737 MAX 8

M Update, 12/3/2019 – Sehingga kini sebanyak 11 buah negara bertindak menggantung operasi pesawat Boeing 737 MAX 8 susulan nahas pesawat Ethiopian Airlines, ET302, yang mengorbankan 157 orang pada Ahad lalu.

Antara negara yang telah menggantung penerbangan pesawat model tersebut ialah Singapura, Indonesia, China, Korea Selatan, Brazil, Argentina dan Mexico.

Ketika ini kira-kira 350 pesawat Boeing 737 MAX 8 beroperasi di seluruh dunia dan beberapa negara serta syarikat penerbangan mengambil tindakan menggantung operasi pesawat jenis itu, manakala ada juga yang masih meneruskan operasi pesawat tersebut, menunggu hasil siasatan dan garis panduan baharu daripada Boeing. Boeing menghantar pakar untuk membantu siasatan nahas.

Pihak Berkuasa Penerbangan Singapura (CAAS) menggantung sementara semua operasi penerbangan varian Boeing 737 MAX dari dan keluar republik itu susulan dua kemalangan maut yang melibatkan pesawat terbabit dalam tempoh kurang dua bulan. Penggantungan itu berkuat kuasa 2 petang hari ini.

Semalam, China mengarahkan syarikat penerbangan tempatan menggantung operasi Boeing 737 MAX 8. Operasi akan disambung semula selepas mendapat pengesahan keselamatan. Indonesia turut menggantung operasi 11 pesawat Boeing 737 MAX 8. Kementerian Pengangkutan Korea Selatan berkata, dua pesawat Boeing 737 MAX 8 yang dikendalikan syarikat penerbangan bajet, Easter Jet akan digantung operasi bagi memberi laluan kepada pemeriksaan lanjut.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Mongolia mengarahkan syarikat penerbangan MIAT Mongolian Airlines juga mengeluarkan arahan sama. Semalam, Ethiopian Airlines melakukan arahan sama terhadap semua pesawat Boeing 737 MAX 8. Syarikat penerbangan Afrika Selatan, Comair memaklumkan telah memutuskan untuk menghentikan operasi pesawat 737 MAX daripada jadual penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cayman Airlines, Fabian Whorms berkata, pihaknya akan menggantung operasi dua pesawat 737 MAX. Gol Airlines dari Brazil menghentikan sementara operasi 737 MAX. Aeromexico, yang memiliki enam pesawat 737 MAX 8 turut mengumumkan menggantung operasi pesawat berkenaan. Juruterbang Aerolinas Argentinas dari Argentina menolak untuk menerbangkan 737 MAX 8.

Sumber : AFP, Utusan Malaysia

Leave a Reply