M Update, 14/3/2019 – Perakam kotak hitam milik pesawat Boeing 737 MAX 8 yang terbabit dalam nahas dan meragut 157 nyawa minggu lalu sudah diterbangkan ke Paris untuk dianalisa.
Ethiopian Airlines dalam satu kenyataan di Twitter berkata, delegasi dari Habsyah yang diketuai Biro Siasatan Kemalangan (AIB) membawa perakam kotak hitam itu ke Perancis bagi membolehkan ia dianalisa.
Keadaan semakin mendesak untuk punca nahas segera dikenal pasti, serentak dengan tindakan Boeing menggantung operasi semua pesawat jenis itu selepas ia disyaki mengalami masalah sama dengan tragedi Lion Air di Indonesia, Oktober tahun lalu yang turut terhempas sejurus memulakan penerbangan.
Sumber kerajaan Habsyah berkata, mereka tidak memiliki peralatan mencukupi untuk memproses data manakala Jerman pula enggan berbuat demikian kerana tidak mampu membaca jenis perisian digunakan Boeing itu.
Pemangku ketua Pengurusan Penerbangan Awam Persekutuan Amerika Syarikat, Daniel Elwell berkata perakam data kotak hitam itu didapati sudah rosak.
Kenya yang kehilangan 32 rakyatnya dalam nahas berkenaan, mengadakan upacara bertafakur selama seminit awal pagi tadi di Sidang Kemuncak Satu Planet dan turut dihadiri Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Sumber : AFP, HM Online