Input your search keywords and press Enter.

Malaysia-Singapura : Setuju Lima Syor

M Update, 14/3/2019 – Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan lima syor dalam laporan kumpulan kerja berhubung isu-isu maritim meliputi had bertindih pelabuhan Johor Bahru dan Pelabuhan Singapura.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan di sini hari ini, pelaksanaan syor-syor itu akan berkuatkuasa bermula hari ini.

Syor pertama, jelas kenyataan itu, adalah bagi kedua-dua negara untuk secara bersama menggantung pelaksanaan had pelabuhan bertindih mereka yang masing-masing berkuatkuasa sebelum 25 Oktober 2018 dan 6 Disember 2018. Malaysia-Singapura bersetuju untuk tidak membenarkan dan menggantung semua aktiviti komersial di kawasan terlibat. Kedua-dua negara juga bersetuju untuk tidak melabuhkan kapal kerajaan di kawasan itu.

Kapal-kapal Malaysia dan Singapura beroperasi di kawasan itu berlandaskan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Bangsa- Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS). Agensi-agensi relevan kedua-dua pihak akan melaksanakan amalan praktikal untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini di kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Tambah mereka, kedua-dua negara turut bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong. Jawatankuasa tersebut katanya, adalah untuk tujuan persempadanan yang akan memastikan pelaksanaan empat syor yang dipersetujui berkenaan dalam tempoh sebulan.

Perundingan untuk penentuan sempadan maritim di kawasan tersebut akan dimulakan dalam masa satu bulan selepas pelaksanaan tersebut,” katanya.

Sumber : UTUSAN ONLINE

Leave a Reply