M Update, 15/3/2019 – Bekas pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecuaian terhadap kanak-kanak perempuan berumur setahun 10 bulan sehingga cedera pada 15 Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Siti Hassan, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahyun Talib.
Mengikut kertas pertuduhan, Siti didakwa menyebabkan kecuaian ke atas kanak-kanak perempuan berumur setahun 10 bulan sehingga cedera.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pangsapuri Kos Rendah di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, pada 15 Oktober lalu, 2 petang.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrim Zaharinan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan berkenaan amat serius.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah supaya diberikan jaminan yang ringan atas alasan menghidap kencing manis dan darah tinggi.
“Saya tidak bekerja dan perlu menyara seorang anak yang masih bersekolah. Saya juga menghidap darah tinggi dan kencing manis.
“Suami saya juga tidak bekerja. Jadi, saya tidak mampu untuk membayar jaminan yang tinggi,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Mac ini bagi sebutan kes semula.
Sumber : Harian Metro