M Update, 20/3/2019 – Kerajaan Kelantan memutuskan tiada pawagam akan beroperasi di negeri ini untuk membendung gejala sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata, pada masa sama, pihaknya bimbang pengusaha pawagam gagal mematuhi syarat ketat yang ditetapkan. Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Kita boleh mengenakan syarat ketat kepada pawagam, namun jika kita buka ruang, masalahnya penguatkuasaan terhadap pelanggaran syarat. Kedua, boleh jadi kita boleh kawal dalam pawagam, tapi masa anak-anak keluar nak sampai ke pawagam dan balik selepas 12 tengah malam, dia akan banyak mengundang masalah gejala sosial.
Pada tahun ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob meletakkan satu fokus untuk mengurangkan gejala sosial. Jadi selepas berbincang secara panjang lebar, kerajaan negeri memutuskan tidak mengadakan pawagam di seluruh Kelantan,” katanya ketika membuat penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke 14 di Kota Bharu, hari ini. Menurutnya, negeri ini tidak berdepan masalah biarpun tidak memiliki pawagam berbanding negeri lain.
Pada tahun sekitar 90-an kita mempunyai pawagam seperti Rex dan Lido dengan syarat ketat dari Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), namun selepas dua tahun mereka menarik diri. Selepas hampir 30 tahun tidak mempunyai pawagam, negeri ini tidak berdepan dengan masalah kerana banyak sumber lain sekiranya mahu menonton filem,” katanya.
Semalam, Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mencadangkan kerajaan negeri supaya membenarkan pembukaan pawagam patuh syariah di negeri ini selepas operasinya dihentikan. Katanya, setiap hujung minggu, ramai rakyat negeri ini ke Terengganu semata-mata untuk menonton wayang.
Sumber : HM Online