Input your search keywords and press Enter.

Dr Mahathir tiba di Islamabad, lawatan kerja 3 hari

M Update, 22/3/2019 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tiba di Pakistan semalam untuk lawatan rasmi tiga hari ke Pakistan.

Pesawat membawa pemimpin Malaysia itu mendarat di Pangkalan Tentera Udara Pakistan Nur Khan, Rawalpindi, dekat sini, kira-kira jam 7.50 malam waktu tempatan (10.50 malam waktu Malaysia).

Ketibaan Dr Mahathir disambut oleh Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan. Turut menyambut Dr Mahathir ialah Menteri Perancangan, Pembangunan dan Pembaharuan Pakistan, Makhdoom Khusro Bakhtiyar; Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Antara acara kemuncak lawatan ialah Dr Mahathir akan dikurniakan anugerah ‘Nishan-e-Pakistan’ atau ‘Order of Pakistan’, anugerah awam tertinggi negara itu yang akan disampaikan oleh Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi, esok. Dr Mahathir juga akan menghadiri sambutan perbarisan Hari Pakistan 2019 di Padang Perbarisan Shakar Parian di sini sebagai tetamu kehormat pada Sabtu.

Perdana Menteri akan diberi sambutan rasmi di Prime Minister’s House pada pagi Jumaat. Dr Mahathir akan disambut oleh rakan sejawatannya, Imran. Selepas itu, kedua-dua perdana menteri akan mengadakan mesyuarat empat mata disusuli dengan mesyuarat delegasi antara Malaysia dan Pakistan. Kemudian, Dr Mahathir dan rakan sejawatannya dari Pakistan akan menghadiri mesyuarat meja bulat dengan ketua-ketua industri Malaysia dan Pakistan di sebuah hotel di sini.

Kedua-dua pemimpin itu juga akan menyaksikan acara simbolik majlis pecah tanah kilang pemasangan Proton di wilayah Sindh. Dr Mahathir dan Imran Khan juga akan menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman dan perjanjian antara syarikat Malaysia dan Pakistan.

Juga pada Jumaat, Dr Mahathir akan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Arif di Istana Presiden, Aiwan-e-Sadr. Beliau akan menerima anugerah Nishan-e-Pakistan pada satu majlis di Istana Presiden.

Lawatan Dr Mahathir ialah atas jemputan rakan sejawatannya dari Pakistan untuk menghadiri sambutan Hari Pakistan yang disambut pada 23 Mac setiap tahun. Ini lawatan pertama Dr Mahathir ke Pakistan sejak menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh. Ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat, beliau sudah tiga kali melawat Pakistan iaitu pada 1984, 1997 dan 2002.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply